Pelarasan perbelanjaan KKM tidak jejas operasi perkhidmatan kesihatan awam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan pelarasan perbelanjaan yang dilaksanakan tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarasan kewangan sebanyak RM500 juta, bersamaan 1.07% daripada peruntukan KKM tahun ini.
  • Pelarasan tidak melibatkan operasi teras seperti elaun petugas, program latihan dan pembelian aset perubatan kritikal.
  • KKM merancang semula perbelanjaan secara berhemah untuk mengoptimumkan penggunaan dana awam.
  • Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian meneliti semula anggaran perbelanjaan pada 29 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan ia hanya merangkumi 1.07 peratus daripada keseluruhan peruntukan KKM iaitu sebanyak RM46.52 bilion bagi tahun ini.

Pelarasan kewangan sebanyak RM500 juta itu juga tidak melibatkan operasi teras perkhidmatan kesihatan seperti elaun petugas, program latihan mahupun pembelian aset perubatan kritikal.

“Mustahak saya tegaskan pelarasan ini tidak melibatkan sebarang sekatan ke atas hal peruntukan pengoperasian peruntukan pembangunan, tidak melibatkan elaun tugasan kakitangan, program latihan atau penangguhan pembelian aset perubatan bukan kritikal.

“Hal ini kerana KKM merancang semula perbelanjaan dengan mengenakan perbelanjaan yang berhemah serta mengoptimumkan perbelanjaan kami,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya di Dewan Rakyat.

Jelasnya, KKM melaksanakan penstrukturan semula perbelanjaan secara optimum bagi memastikan kecekapan penggunaan dana awam.

Kementerian Kewangan pada 29 April lalu telah mengeluarkan arahan kepada semua kementerian untuk meneliti semula anggaran perbelanjaan masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.