
KUALA LUMPUR 2 Julai – Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) dilihat sebagai langkah serampang dua mata bagi memelihara kebajikan penjawat awam, selain berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
- Membantu generasi sandwich yang terhimpit komitmen menjaga anak dan ibu bapa.
- Memberi kemudahan dan sokongan lebih baik kepada penjawat awam OKU.
- Meningkatkan kesejahteraan mental, fizikal dan kestabilan ekonomi, serta memacu motivasi dan kualiti perkhidmatan; kejayaan perlukan kesiapan sistem dan anjakan paradigma.
Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Nor Wahiza Abd Wahat berkata, inisiatif tersebut bertepatan dalam memenuhi keperluan mendesak golongan penjawat awam.
Terutama, fenomena ‘generasi sandwich’ yang terhimpit dengan komitmen membesarkan anak-anak pada masa sama perlu menjaga ibu bapa.
Kemudahan HBH turut memberi kebaikan kepada penjawat awam daripada kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Prof Madya Dr. Nor Wahiza, langkah progresif tersebut mampu memberikan impak yang positif secara menyeluruh, melibatkan kebajikan, kesejahteraan mental dan fizikla serta kestabilan ekonomi.
Mengulas mengenai cabaran, beliau berkata, HBH mampu meningkatkan motivasi dan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan berkualiti tinggi kepada klien utama mereka, iaitu rakyat.
Secara keseluruhannya, kejayaan inisiatif tersebut bergantung kepada kesediaan sistem dan anjakan paradigma seluruh warga perkhidmatan awam, dalam mendepani acuan kerja baharu di masa hadapan.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.