
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Pelaksanaan Smart Lane di beberapa jajaran lebuh raya PLUS berjaya mengurangkan kesesakan trafik antara 30 hingga 50 peratus sejak diperkenalkan.
- Pemantauan LLM sejak 2023 mendapati kadar kemalangan di lokasi Smart Lane sangat rendah berbanding keseluruhan trafik.
- Setiap lokasi Smart Lane menjalani penilaian teknikal LLM termasuk kesesuaian lorong kecemasan, kondisi permukaan jalan dan Laporan Audit Keselamatan Jalan Raya.
- Papan tanda setiap 500 meter, lampu isyarat hijau serta peluasan CCTV berteknologi AI diperkukuh untuk pengesanan masa nyata dan kelancaran aliran trafik.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan pemantauan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sejak 2023, kadar kemalangan di lokasi Smart Lane juga didapati sangat rendah berbanding jumlah keseluruhan trafik yang menggunakan laluan berkenaan.
Beliau berkata, setiap lokasi Smart Lane menjalani penilaian teknikal oleh LLM sebelum dibenarkan beroperasi bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya, termasuk penunggang motosikal, sentiasa terpelihara.
“Antara aspek yang dinilai ialah kesesuaian fizikal lorong kecemasan, struktur permukaan jalan serta keperluan mengemukakan Laporan Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) sebelum Smart Lane diaktifkan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, amaran kepada pengguna turut diperkukuh menerusi pemasangan papan tanda pada setiap jarak 500 meter serta lampu isyarat hijau bagi memaklumkan waktu pengaktifan Smart Lane.
Beliau menjelaskan, lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal, sebaliknya boleh digunakan bagi pelaksanaan Smart Lane, selain kegunaan kecemasan.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya dan LLM turut mengarahkan syarikat konsesi memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kepadatan trafik secara masa nyata untuk melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya.