
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh tahap keselamatan murid di sekolah melalui pemantauan berterusan serta kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat.
- Setiap kes di sekolah diteliti secara berasingan, melibatkan aspek keselamatan, psiko emosi dan kesihatan mental murid.
- Audit dan pemantauan diperkuat melalui jawatankuasa khas yang menyelaraskan tindakan antara agensi dan organisasi.
- Sokongan NIOSH merangkumi keselamatan bangunan, longkang, kebakaran serta pengurusan dan mitigasi risiko.
- Penyediaan kuarters guru diperkukuh melalui baik pulih, pengoptimuman penggunaan atau penyelesaian bersama agensi untuk unit tidak praktikal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata setiap kes yang berlaku di sekolah diteliti secara berasingan kerana melibatkan pelbagai faktor, termasuk aspek keselamatan, psiko emosi dan kesihatan mental murid.
“Saya menegaskan juga bahawa setiap kes yang berlaku, kita akan lihat kes ini secara berasingan kerana ia melibatkan banyak faktor dan bukan sahaja isu keselamatan semata-mata tetapi juga psikoemosi dan juga keadaan mental anak-anak ini. Itu yang pertama.
“Kedua, saya setuju bahawa soal audit soal, pemantauan ini mesti terus diberikan pengukuhan di peringkat Malaysia dan sebab itu apabila kita bercakap tentang pemantauan audit sebagainya ini, kita melakukannya secara tidak bersorangan.
“Tetapi sebuah jawatan kuasa yang telahpun ditubuhkan untuk memastikan bahawa seluruh agensi dan organisasi ini mempunyai pandangan dan juga memastikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan semua agenda-agenda untuk memantau dan mempunyai ekosistem selamat di sekolah ini. Sebagai contoh kita mendapat sokongan penuh daripada NIOSH”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu di Dewan Rakyat berhubung tahap keselamatan murid di sekolah seluruh negara serta langkah yang diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan, buli dan ancaman lain.
Menurut beliau, KPM turut menubuhkan jawatankuasa khas yang melibatkan pelbagai agensi bagi memperkukuh pemantauan dan mewujudkan ekosistem sekolah yang lebih selamat.
Kementerian juga turut mendapat sokongan NIOSH dalam aspek keselamatan bangunan, longkang, kebakaran dan pengurusan risiko, selain melatih penyelaras keselamatan di sekolah bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur keselamatan.
Sementara itu, berkenaan kuarters guru, beliau memaklumkan KPM akan terus memperkukuh penyediaan dan pengurusan kuarters guru di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan guru terjamin.
Katanya, kementerian kini sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengoptimumkan penggunaan kuarters sedia ada termasuk melaksanakan kerja baik pulih bagi unit yang masih sesuai digunakan.
“Antara perhatian utama yang kita berikan untuk kesejahteraan guru, selain daripada bilik guru adalah kuarters guru. Yang sedang kita kenal pasti bagaimana kita boleh terus mengoptimumkan selain daripada membaiki, ada juga kuarters-kuarters guru ini..sudah tidak optimum untuk dibaiki.
Tambahnya, bagi kuarters yang tidak lagi praktikal untuk dibaik pulih, usaha akan dilaksanakan bersama agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian lebih berkesan termasuk mengoptimumkan penggunaannya untuk memenuhi keperluan sektor perkhidmatan awam yang lain.