Harga bahan api turun, pengguna harap harga barang turut turun, ringankan kos sara hidup

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Penurunan harga runcit petrol dan diesel yang berkuat kuasa Rabu lalu disambut baik pengguna, dengan rata-rata berharap langkah itu akan diikuti penurunan harga barangan keperluan sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengguna berharap penurunan harga bahan api akan diterjemahkan kepada harga barangan lebih rendah demi meringankan kos sara hidup.
  • Peniaga dan usahawan menjangka pengurangan kos bahan api mengurangkan kos operasi serta memberi kesan positif kepada rantaian bekalan.
  • Kementerian menerapkan mekanisme Automatic Pricing Mechanism berdasarkan harga pasaran minggu terdahulu untuk penetapan semula harga bahan api.

Tinjauan pemberita RTM mendapati, golongan pengguna termasuk dalam sektor keusahawanan dan perniagaan, berpendapat penstrukturan semula harga bahan api itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat, malah mampu mengurangkan kos operasi perniagaan serta memberi kesan positif kepada keseluruhan rantaian bekalan.

Seorang pembantu kedai, Afikah Azman, berharap penurunan harga minyak dapat diterjemahkan kepada penurunan harga barangan di pasaran.

“Lebihan perbelanjaan yang dijimatkan daripada kos bahan api boleh digunakan untuk keperluan keluarga, termasuk perbelanjaan anak-anak dan kos ulang-alik ke tempat kerja,” katanya kepada pemberita RTM.

Sementara itu, peniaga Syed Ahmad Syed Sheikh berkata, penurunan harga bahan api sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat, khususnya keluarga yang bergantung kepada satu sumber pendapatan.

“Saya berharap langkah itu dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memberi manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Bagi usahawan Brain Tan Chong Beng, walaupun mengakui harga makanan sukar diturunkan dalam tempoh singkat, beliau berharap pengurangan harga bahan api dapat mengurangkan kos pentadbiran dan operasi perniagaan.

“Penjimatan tersebut sewajarnya diterjemahkan kepada penurunan harga barangan dan perkhidmatan demi manfaat pengguna,” katanya.

Pengguna turut berharap penurunan harga diesel memberi impak positif kepada rantaian bekalan dengan mendorong pembekal serta peniaga menurunkan harga barangan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang masih dirasai rakyat.

Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi minggu 1 hingga 8 Julai turun sebanyak 10 sen, berkuatkuasa Rabu lalu selaras dengan penurunan harga pasaran petroleum antarabangsa.

Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini memaklumkan, penetapan baharu itu dibuat menerusi mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM) berdasarkan purata harga pasaran minggu terdahulu.

Bagi tempoh tersebut, harga runcit RON97 diturunkan kepada RM4.00 seliter berbanding RM4.10 sebelum ini.

Manakala RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM3.37 seliter daripada RM3.47 seliter, dan diesel tanpa subsidi berkurang kepada RM3.97 seliter berbanding RM4.07 seliter.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.