
TEHRAN, 1 Julai -Persediaan bagi upacara pengebumian pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei giat dijalankan pada Jumaat dengan pihak berkuasa menjangkakan jutaan rakyat dan delegasi dari lebih 100 negara akan menghadiri istiadat rasmi berkenaan.
- Pakistan mengesahkan Perdana Menteri Shehbaz Sharif hadir; China, Afghanistan dan negara jiran Kaukasus hantar wakil.
- Ketua perunding Mohammad Bagher Ghalibaf menyeru kehadiran besar sebagai peringatan dan menggesa balas dendam antarabangsa.
- Pemimpin tertinggi Khamenei terbunuh dalam serangan; jenazah ditempatkan di Grand Mosalla untuk penghormatan tiga hari, termasuk ahli keluarga terkorban.
Pakistan, pengantara penting rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat mengesahkan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif akan hadir pada upacara yang dijadualkan berlangsung di Tehran pada Sabtu.
China, Afghanistan dan negara-negara jiran Iran di rantau Kaukasus turut memaklumkan akan menghantar wakil masing-masing untuk menghadiri upacara pengebumian tersebut.
Pada Khamis, persiapan giat dijalankan di kompleks agama Grand Mosalla Tehran dengan pasukan keselamatan mengawal laluan kenderaan dan orang ramai yang berkumpul untuk melihat proses tersebut.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, pada Khamis menyeru kehadiran besar-besaran ke majlis itu sebagai tanda peringatan terhadap kematian pemimpin tertinggi tersebut dalam serangan AS-Israel pada hari pertama perang.
“Seruan negara untuk membalas dendam mesti bergema di seluruh dunia,” kata Ghalibaf yang juga merupakan Speaker Parlimen Iran.
Upacara pengebumian Khamenei yang sebelum ini ditangguhkan ketika kemuncak perang, berlangsung ketika Iran dan AS menguatkuasakan gencatan senjata rapuh selepas menandatangani perjanjian awal bagi menghentikan konflik.
Khamenei, 86 tahun, terbunuh dalam serangan ke atas kediamannya di tengah ibu negara Iran.
Jenazahnya akan ditempatkan untuk penghormatan terakhir selama tiga hari di kompleks Grand Mosalla, yang dihiasi dengan sepanduk memaparkan gambar serta kata-kata beliau.
Jenazah beberapa ahli keluarga Khamenei yang turut terkorban dalam serangan itu juga akan ditempatkan bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir. – AFP