NRES tidak berkompromi isu pencemaran termasuk ternakan babi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencemaran alam sekitar, termasuk yang dikaitkan dengan aktiviti penternakan babi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan tegas mengikut undang-undang, berasaskan bukti dan penilaian saintifik.
  • Operasi bersepadu bersama agensi berkaitan untuk mengesan, menyiasat dan membendung pencemaran.
  • Penguatkuasaan diperkukuh di kawasan berisiko tinggi; pemantauan kualiti air sungai diperluas.
  • Penggunaan teknologi seperti dron dan penderiaan jauh, serta sedia beri kerjasama dan bantuan teknikal kepada kerajaan negeri jika diperlukan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya turut memperkukuh operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi mengesan, menyiasat dan membendung pencemaran, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Kita menghormati hak pengusaha untuk menjalankan aktiviti ekonomi. Namun pada masa sama, mereka perlu mematuhi lunas undang-undang.

“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencemaran alam sekitar. Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara tegas mengikut peruntukan undang-undang dan mesti berasaskan bukti serta penilaian saintifik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, NRES akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri serta agensi berkaitan melalui pelaksanaan operasi bersepadu, penguatkuasaan berkala dan pemantauan kualiti air sungai bagi menangani isu pencemaran.

Katanya lagi, kementerian juga mempergiat penguatkuasaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, selain memperluaskan program pemantauan kualiti air sungai serta penggunaan teknologi seperti dron dan penderiaan jauh (remote sensing).

Mengulas isu penternakan babi di Tanjung Sepat, Syed Ibrahim berkata tindakan terhadap ladang berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala NRES bersedia memberikan kerjasama dan bantuan teknikal sekiranya berlaku pencemaran yang memerlukan tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.