Pengeluaran ATM antara bank tanpa caj RM1, kurangkan kos urus niaga harian

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pemansuhan yuran RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dalam mengurangkan kos urus niaga harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelanggan boleh mengeluarkan tunai di ATM bank lain tanpa caj antara bank.
  • Pemansuhan hanya terpakai pada ATM yang dikendalikan oleh bank; ATM bukan bank masih mungkin dikenakan caj standard.
  • Tiga persatuan perbankan menyokong langkah ini untuk mewujudkan sistem kewangan lebih inklusif dan mengutamakan keperluan harian rakyat.
  • Pelaksanaan dijalankan bersama PayNet; rujuk laman rasmi, aplikasi mudah alih atau pusat khidmat pelanggan untuk maklumat lanjut.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) memaklumkan, inisiatif itu membolehkan pelanggan mengeluarkan wang tunai di ATM bank lain tanpa dikenakan caj RM1 seperti sebelum ini.

“Pemansuhan berkenaan hanya terpakai bagi ATM yang dikendalikan oleh bank-bank di seluruh negara.

“Bagaimanapun, caj standard masih boleh dikenakan bagi pengeluaran tunai melalui ATM yang tidak dikendalikan oleh institusi perbankan,” menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga persatuan turut bersetuju, langkah tersebut mencerminkan komitmen industri perbankan dalam mewujudkan sistem kewangan yang lebih inklusif, mudah diakses dan mengutamakan keperluan harian rakyat.

“Pelaksanaan inisiatif berkenaan turut dijayakan hasil kerjasama rapat dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi memastikan proses pemansuhan yuran itu berjalan lancar dan manfaatnya dapat dinikmati serta-merta oleh pengguna,” tambah kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pemansuhan yuran pengeluaran ATM antara bank itu boleh merujuk saluran komunikasi rasmi bank masing-masing, termasuk laman sesawang, aplikasi perbankan mudah alih dan pusat khidmat pelanggan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.