
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti penggunaan teknologi kecerdasan buatan berejen atau agentic AI dalam menangani kes kandungan memudaratkan di platform digital dengan lebih berkesan.
- MCMC mengenal pasti dan mengemukakan 345,712 kandungan memudaratkan kepada pengendali platform sejak 1 Januari.
- Setiap aduan memerlukan dokumentasi lengkap, mengambil 30 hingga 45 minit, jumlah kerja untuk 345,712 kes kira-kira 19.7 tahun.
- Sebahagian besar 91 peratus kandungan memudaratkan adalah berkaitan perjudian dan penipuan, termasuk iklan berbayar; pengendali platform digesa bertindak lebih berkesan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, teknologi itu bertujuan mempercepat proses pengesanan dan pemfailan kandungan berkaitan.
Menurut beliau, sejak 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan dikenal pasti MCMC dan dikemukakan kepada pengendali platform untuk diturunkan.
“Setiap aduan memerlukan dokumen serta justifikasi lengkap dan mengambil masa purata antara 30 hingga 45 minit untuk difailkan.
“Jika 345,712 permohonan itu dikira berdasarkan tempoh 30 minit setiap satu, jumlah masa kerja yang digunakan bersamaan kira-kira 19.7 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, 91 peratus daripada kandungan memudaratkan yang dikenal pasti MCMC sepanjang tempoh tersebut adalah berkaitan perjudian dan penipuan yang berulang kali disiarkan, termasuk menerusi iklan berbayar.
Beliau menggesa pengendali platform media sosial memainkan peranan lebih berkesan dalam menghalang kandungan berbahaya daripada disiarkan.