Sapura Industrial meterai perjanjian jual tanah RM42.33 juta dengan ZPC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Sapura Industrial Bhd (SIB) memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi penjualan dua bidang tanah perindustrian di Bandar Baru Bangi, Selangor kepada Zeito Plastic Components Sdn Bhd (ZPC) pada harga RM42.33 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Urus niaga tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan sebelum dimuktamadkan.
  • Dua bidang tanah kosong bersebelahan seluas keseluruhan 40,964 meter persegi, pajakan 99 tahun berakhir 18 Julai 2103.
  • Jualan merealisasikan nilai aset bukan teras, menjana dana operasi; dijangka keuntungan bersih pro forma sekitar RM29.14 juta, siap separuh pertama 2027.

Bagaimanapun, urus niaga itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, jika diperlukan, sebelum dapat dimuktamadkan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengeluar komponen automotif itu memaklumkan perjanjian berkenaan ditandatangani hari ini selepas menerima surat tawaran daripada pembeli pada 8 Jun lalu.

Dua bidang tanah kosong yang terletak bersebelahan itu, mempunyai keluasan keseluruhan 40,964 meter persegi dengan tempoh pajakan selama 99 tahun yang berakhir pada 18 Julai 2103.

Menurut SIB, tanah berkenaan pada asalnya diperoleh bagi tujuan peluasan kilang di Bandar Baru Bangi. Bagaimanapun, selepas menilai semula perancangan pengembangan operasi agar lebih dekat dengan pelanggan, syarikat memutuskan untuk melupuskan aset berkenaan.

Katanya, penjualan itu membolehkan syarikat merealisasikan nilai aset bukan teras pada harga semasa, sekali gus menjana dana bagi menyokong keperluan operasi yang lebih produktif.

SIB memaklumkan harga jualan RM42.33 juta itu dipersetujui selepas mengambil kira penilaian pasaran bebas sebanyak RM40.6 juta setakat 30 April lalu, selain kos pemerolehan asal tanah berjumlah RM12.1 juta.

Syarikat itu menjangkakan memperoleh keuntungan bersih pro forma kira-kira RM29.14 juta daripada urus niaga berkenaan.

Menurut SIB, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga tersebut.

Sekiranya semua kelulusan diperoleh, transaksi itu dijangka selesai pada separuh pertama 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.