PETRONAS catat tiga lagi kejayaan penerokaan di Suriname

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mencatat tiga lagi kejayaan dalam aktiviti penerokaan luar pesisir di Blok 52, Suriname, membabitkan dua penemuan baharu minyak dan gas serta satu kejayaan penilaian medan yang mengukuhkan potensi pembangunan blok berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Caiman-1 menemui beberapa lapisan batu pasir Zaman Kapur yang mengandungi minyak.
  • SAC-1 menemukan takungan batu pasir yang mengandungi gas; ujian DST menunjukkan keupayaan pengeluaran gas yang kukuh dan takungan berkualiti baik.
  • Roystonea-2 mengesahkan keluasan takungan minyak terdahulu; ujian DST menunjukkan produktiviti minyak tinggi, mengukuhkan potensi pembangunan medan.
  • PETRONAS fokus terjemah potensi Blok 52 di 'Golden Lane' kepada nilai jangka panjang; FID Sloanea disasarkan sebelum akhir tahun.

Dalam kenyataan, PETRONAS memaklumkan kejayaan itu menjadikan jumlah keseluruhan lapan telaga berjaya diteroka di Suriname, sekali gus membuka potensi sumber boleh diperoleh semula melebihi satu bilion tong setara minyak.

Menurut syarikat itu, telaga penerokaan Caiman-1 menemui beberapa lapisan batu pasir Zaman Kapur yang mengandungi minyak, manakala telaga Swartzia Aspasia Complex-1 (SAC-1) pula menemukan takungan batu pasir yang mengandungi gas.

Ujian batang gerudi (Drill Stem Test, DST) di telaga SAC-1 turut menunjukkan keupayaan pengeluaran gas yang kukuh, sekali gus membuktikan kualiti takungan yang baik.

Sementara itu, telaga penilaian Roystonea-2 mengesahkan keluasan takungan minyak yang ditemui sebelum ini, dengan keputusan ujian DST menunjukkan produktiviti minyak yang tinggi serta mengukuhkan lagi potensi pembangunan medan berkenaan.

Kesemua kejayaan terbaharu itu dicatatkan menerusi anak syarikat milik penuh PETRONAS, PETRONAS Suriname E&P B.V., yang mengendalikan Blok 52 dengan pegangan sebanyak 80 peratus, manakala baki 20 peratus dimiliki Paradise Oil Company N.V.(Staatsolie).

Ketua Pegawai Operasi PETRONAS yang juga Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, lapan kejayaan penerokaan di Suriname mencerminkan keupayaan teknikal, pelaksanaan yang berdisiplin serta kerjasama kukuh syarikat di negara itu.

“Blok 52 terletak dalam koridor berpotensi tinggi yang dikenali sebagai ‘Golden Lane‘ dan PETRONAS akan terus memberi tumpuan untuk menterjemahkan potensi sumber tersebut kepada nilai jangka panjang bagi Suriname dan syarikat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Staatsolie atas sokongan dan kerjasama dalam memacu pembangunan sektor huluan di negara itu.

PETRONAS memaklumkan pencapaian terbaharu itu dibina berasaskan pengisytiharan kebolehkomersialan medan gas Sloanea pada November tahun lalu, dengan keputusan pelaburan muktamad bagi pembangunannya disasarkan sebelum akhir tahun ini.

Menurut syarikat itu, kejayaan berkenaan turut memperkukuh asas kepada beberapa projek pembangunan minyak dan gas di Blok 52 serta menyokong kemunculan Suriname sebagai hab tenaga laut dalam yang penting di lembangan Suriname-Guyana.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.