Malaysia, Thailand runding isu perdagangan produk pertanian dan perikanan

Perbincangan dua hala Malaysia-Thailand berlangsung ketika kunjungan hormat Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Jungrungreangkit bersama delegasi ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu./ FB Datuk Seri Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 1 Julai – Malaysia dan Thailand bersetuju meneruskan rundingan berhubung beberapa isu perdagangan membabitkan produk pertanian dan perikanan, termasuk sekatan eksport serta akses pasaran, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek keselamatan makanan dan sektor agromakanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia membangkitkan isu sekatan eksport udang ke Thailand, pemeriksaan ketat eksport ikan siakap dan akses pasaran produk ternakan belum dimuktamadkan.
  • KPKM jelaskan rasional sekatan sementara import lima jenis udang dari Thailand berdasarkan penilaian teknikal dan risiko biosekuriti; sekatan kekal sehingga penilaian selesai.
  • Kedua negara setuju memudah cara perdagangan melalui RTS ASEAN, percepat permit eksport terutama durian ke China, dan kukuhkan komunikasi serta kerjasama teknikal.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Jungrungreangkit, di Wisma Tani, hari ini.

Menurut kenyataan KPKM, Malaysia membangkitkan beberapa isu perdagangan melibatkan produk pertanian, termasuk sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand, pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia serta permohonan akses pasaran bagi produk ternakan yang masih belum dimuktamadkan sejak 2024.

Malaysia membangkitkan beberapa isu perdagangan melibatkan produk pertanian Malaysia ke Thailand./ FB Datuk Seri Mohamad Sabu

“Malaysia turut menjelaskan rasional sekatan sementara import lima jenis udang dari Thailand yang dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal dan maklumat risiko semasa bagi memastikan tahap biosekuriti serta keselamatan makanan negara terus terpelihara.

“Sekatan itu akan kekal berkuat kuasa sehingga proses penilaian selesai, termasuk kemungkinan pelaksanaan penilaian di lapangan, perbincangan teknikal mengenai syarat import serta penyelarasan pensijilan kesihatan,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam mesyuarat sama, Malaysia turut memohon Thailand memudah cara perdagangan menerusi Sistem Transit Pantas (RTS) ASEAN yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China, termasuk mempercepat pengeluaran permit khas bagi memudahkan eksport produk pertanian Malaysia, terutama durian, ke pasaran China.

Foto FB Datuk Seri Mohamad Sabu

Kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan mengekalkan komunikasi yang terbuka, telus dan pantas antara pihak berkuasa berkaitan, selain memperkukuh kerjasama teknikal serta perdagangan dalam sektor pertanian dan agromakanan demi manfaat bersama.

Pada akhir mesyuarat, Datuk Seri Mohamad turut mengundang Thailand menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

Perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dan Thailand terus mencatat pertumbuhan positif apabila nilai dagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 mencecah RM20.33 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.