10 syarikat pemula sertai SemiconStart Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pelancaran SemiconStart Malaysia menandakan peralihan daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan dalam usaha memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MTDC dengan kerjasama Silicon Catalyst UK melancarkan SemiconStart, program inkubasi semikonduktor menawarkan bimbingan kepakaran, akses pembiayaan dan kemudahan alatan.
  • Sepuluh syarikat pemula niaga dipilih menyertai kohort pertama program, mewakili pembangunan teknologi semikonduktor tempatan.
  • Setiap syarikat layak terima sokongan inkubasi sehingga RM1 juta dan laluan pembangunan berstruktur selama 260 hari.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata inisiatif itu turut menterjemahkan usaha bersepadu untuk menggalakkan inovasi, pengkomersialan dan pembangunan teknologi.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu selari dengan Strategi Semikonduktor Nasional yang diumumkan sebelum ini, termasuk sasaran utama, peruntukan sumber dan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu.

“Hari ini amat signifikan kerana ia menandakan peralihan daripada strategi kepada tindakan. Segala perancangan sebelum ini kini diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang nyata,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran SemiconStart Malaysia di sini, hari ini.

SemiconStart Malaysia merupakan program inkubasi semikonduktor di bawah Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC) dengan kerjasama Silicon Catalyst UK.

Program tersebut menyediakan sokongan menyeluruh kepada syarikat tempatan, termasuk bimbingan kepakaran, akses kepada pembiayaan global, rangkaian pelaburan, kemudahan alatan semikonduktor serta sokongan pengkomersialan.

Dalam perkembangan sama, MTDC memaklumkan sebanyak 10 syarikat pemula niaga telah dipilih menyertai kohort pertama program tersebut.

Syarikat terpilih layak menerima sokongan inkubasi sehingga RM1 juta serta mengikuti laluan pembangunan berstruktur selama 260 hari.

Antara syarikat terlibat ialah SkyeChip Semi Sdn. Bhd., GreatAsic Technology Sdn. Bhd., FusionAP Sdn. Bhd., nanoSkunkWorkX Sdn. Bhd., Silicon X Sdn. Bhd., Aphelia Sdn. Bhd., Channel Microsystems Sdn. Bhd., FirstChip Sdn. Bhd., Kirana Semikonduktor Sdn. Bhd. dan SMD Compound Sdn. Bhd.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.