AirAsia MOVE tambah rakan penerbangan baharu, perkukuh ketersambungan global

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Jun – AirAsia MOVE (MOVE) memperluaskan rangkaian ketersambungan global menerusi penambahan empat rakan kongsi penerbangan baharu, sekali gus mengukuhkan pilihan perjalanan merentasi Asia dan pasaran antarabangsa utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakan kongsi baharu: Oman Air, Uzbekistan Airways, FitsAir dan Hainan Airlines, membuka akses ke Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan China.
  • Kepercayaan syarikat penerbangan utama mencerminkan kekuatan komersial MOVE walaupun berdepan cabaran makroekonomi dan ketidaktentuan pasaran.
  • Platform kini bekerjasama terus dengan 75 syarikat penerbangan global dan menawarkan akses kepada kira-kira 700 lagi melalui pembekal sah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer memaklumkan rakan kongsi baharu tersebut ialah Oman Air, Uzbekistan Airways, FitsAir dan Hainan Airlines, yang akan memperluas akses perjalanan ke Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan China.

“Penambahan tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat penerbangan terhadap platform itu sebagai aplikasi tempahan perjalanan utama untuk menjangkau pengguna di rantau yang sedang pesat berkembang.

“Trend perjalanan di ASEAN kini semakin berkembang dengan pengguna mencari lebih banyak pilihan dalam satu platform tunggal, sekali gus menjadikan usaha memperluas rangkaian penawaran sebagai teras strategi syarikat,” mnurut kenyataan itu.

Kejayaan meraih kepercayaan syarikat penerbangan utama ini, terutamanya di sebalik cabaran makroekonomi dan ketidaktentuan pasaran, membuktikan kekuatan komersial ekosistem MOVE serta capaian serantau.

Setiap rakan kongsi baharu itu membuka laluan perjalanan baharu kepada pengguna, termasuk akses ke destinasi utama dan rangkaian global yang lebih meluas melalui Oman serta laluan ke Asia Tengah melalui Tashkent.

FitsAir pula memperkukuh ketersambungan mampu milik antara Kuala Lumpur dan Colombo, dengan sambungan ke beberapa bandar utama termasuk Dubai, Dhaka, Lahore dan Chennai.

Sementara itu, Hainan Airlines memperluas akses ke rangkaian domestik China dari hab utamanya di Haikou, Beijing, Chongqing, Shenzhen dan Xi’an, selain sambungan antarabangsa ke Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Dengan penambahan terbaharu itu, platform berkenaan kini bekerjasama secara langsung dengan 75 syarikat penerbangan global, selain menawarkan akses kepada kira-kira 700 syarikat penerbangan lain melalui pembekal sah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.