Lebih 1,300 kematian akibat gelombang haba di Eropah – WHO

foto REUTERS

GENEVA, 28 Jun – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, lebih 1,300 kematian direkodkan di Eropah sejak 21 Jun, dikaitkan dengan gelombang haba luar biasa yang melanda sebahagian besar benua itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Haba ekstrem melibatkan ratusan juta penduduk Eropah, menutup sekolah, menekan grid tenaga dan perkhidmatan kesihatan.
  • Gelombang haba kerap berlaku hampir setiap tahun disebabkan perubahan iklim; Eropah memanas dua kali ganda lebih pantas daripada purata global.
  • WHO menggesa negara melaksanakan pelan tindakan kesihatan haba serta memperkuat sistem kesihatan dan kesiapsiagaan untuk melindungi penduduk.

Puluhan juta penduduk telah berdepan suhu ekstrem sepanjang hujung minggu ketika gelombang haba maut itu bergerak ke arah timur, dengan beberapa negara melaporkan peningkatan angka kematian serta perkhidmatan kesihatan yang semakin tertekan.

Menurut pihak kesihatan Perancis, terdapat sekitar 1,000 kematian akibat gelombang haba, lebih tinggi daripada jangkaan di negara itu.

“Di seluruh Eropah, lebih daripada 1,300 kematian telah direkodkan sejak 21 Jun berkaitan suhu tinggi,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X.

“Tekanan haba sering dipanggil ‘pembunuh senyap’ dan rumah, tempat kerja serta sekolah di Eropah tidak dibina untuk suhu sebegini,” katanya.

Sekurang-kurangnya 191 juta orang dijangka mengalami suhu sekurang-kurangnya 35°C di Eropah, dengan haba paling teruk dirasai di Jerman, Republik Czech, Hungary dan Poland.

Sebanyak 381 juta orang di Eropah (tidak termasuk Turkiye) dijangka mengalami suhu melebihi 30°C, berdasarkan analisis ramalan perkhidmatan meteorologi Jerman serta unjuran populasi 2025 oleh Joint Research Centre yang dikumpulkan NGO Austria, Klimadashboard.

“Jutaan penduduk kini hidup dalam keadaan haba ekstrem, ratusan telah meninggal dunia, sekolah ditutup, grid tenaga mula tertekan,” kata Tedros.

“Didorong oleh perubahan iklim dan pemanasan global, fenomena gelombang haba ‘sekali dalam satu generasi’ kini berlaku hampir setiap tahun,” tambahnya sambil menegaskan bahawa Eropah ialah benua yang paling cepat memanas di dunia, iaitu dua kali ganda lebih pantas daripada purata global.

Ketua WHO itu berkata agensi kesihatan PBB sedang bekerjasama dengan negara anggota dan rakan kongsi untuk menangani ancaman kesihatan akibat haba melampau melalui kesiapsiagaan, pencegahan dan pengukuhan sistem kesihatan.

Beliau turut menggesa negara Eropah melaksanakan pelan tindakan kesihatan haba bagi melindungi penduduk daripada kesan perubahan iklim. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.