Gelang pintar pantau kesihatan warga emas di Rom

Gelang elektronik yang berfungsi memantau kesihatan dan membolehkan pengguna mendapatkan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan / REUTERS

ROME, 29 Jun– Sebuah gelang pintar yang memantau tahap kesihatan dan mengesan kecemasan kini digunakan bagi membantu warga emas yang tinggal bersendirian di Rom, Itali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program bandar memberi manfaat kepada kira-kira 700 warga emas sejak diperkenalkan tahun lalu.
  • Kos pelaksanaan sekitar 400 juta euro dan dibiayai oleh Kesatuan Eropah.
  • Gelang memantau kadar denyutan jantung, corak tidur, mengesan terjatuh serta merekod dan mengirim notifikasi kecemasan.
  • Data dipantau pekerja sosial pada siang hari, notifikasi kecemasan dihantar kepada keluarga malam dan hujung minggu, sistem berjaya bantu dua kecemasan.

Inisiatif yang diperkenalkan pentadbiran bandar Rom tahun lalu itu, memberi manfaat kepada kira-kira 700 warga emas.

Pendekatan itu menelan kos 400 juta euro dengan pembiayaan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Gelang elektronik berkenaan berfungsi memantau kadar denyutan jantung, corak tidur serta membolehkan pengguna mendapatkan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Peranti itu turut dilengkapi penderia pergerakan bagi mengesan insiden terjatuh, selain merekodkan pergerakan pemakai di dalam dan di luar rumah.

Pakar psikologi klinikal, Piera Pomente berkata, gelang pintar itu amat membantu terutama ketika Eropah berdepan gelombang haba yang meningkatkan risiko kesihatan dalam kalangan warga emas.

“Cuaca panas boleh menyebabkan tekanan darah menurun dan menjejaskan kadar denyutan jantung, sekali gus meningkatkan risiko kecemasan,” katanya.

Seorang pengguna, Dina Gazzella, 85 tahun berkata, gelang itu memberi ketenangan selepas beliau tinggal bersendirian sejak kehilangan suami pada 2023.

“Peranti berkenaan menjadi penyelamat sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di rumah,” ujarnya.

Data pengguna dipantau oleh pasukan pekerja sosial pada waktu siang, manakala notifikasi kecemasan dihantar kepada ahli keluarga menerusi aplikasi mudah alih pada waktu malam dan hujung minggu.

Sepanjang setahun pelaksanaannya, sistem itu berjaya membantu mengendalikan dua kes kecemasan selepas ahli keluarga dimaklumkan dengan segera. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.