
SHAH ALAM, 28 Jun – Johor bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu 33-26 sekali gus muncul juara pada perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 di Stadium UiTM, Shah Alam, hari ini.
- Terengganu membuka perlawanan cemerlang, mendahului 19-0 dalam 20 minit pertama.
- Johor merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama dengan kedudukan 19-17.
- Aqasha Daniel Irwan dipilih pemain terbaik perlawanan selepas aksi cemerlang.
Pada perlawanan berkenaan, Terengganu bermula cemerlang apabila mendahului 19-0 dalam tempoh 20 minit hasil permainan serta corak tersusun dan agresif.
Bagaimanapun, Johor berjaya merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama dengan kedudukan 19-17.
Memasuki separuh masa kedua, skuad Harimau Selatan mempamerkan kebangkitan dramatik apabila menguasai permainan dan terus mengutip mata untuk melengkapkan kemenangan 33-26.
Kemenangan itu menamatkan kekecewaan Johor selepas dua kali berturut-turut tewas di pentas akhir selain menghadiahkan kejuaraan ketiga selepas muncul juara pada edisi 2013 dan 2017.
Kekalahan kepada Johor membantutkan hasrat Terengganu untuk menamatkan penantian tujuh tahun bagi merangkul kejuaraan selepas muncul juara pada edisi 2019.
Sementara itu, pemain Johor, Aqasha Daniel Irwan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam kebangkitan pasukannya menjulang kejuaraan.