Wanita parah, lapan cedera nahas tiga kenderaan

Nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah lori/Foto ihsan JBPM

SUNGAI PETANI, 28 Jun – Seorang wanita cedera parah selepas terbabit dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 94 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan mangsa rosak dan berhenti di lorong kecemasan.
  • Sebuah kenderaan lain berhenti di hadapan untuk memberi bantuan.
  • Lori dari belakang gagal mengelak lalu merempuh kedua-dua kenderaan, menyebabkan semuanya terbabas ke bahu jalan.
  • Mangsa tersepit, dihantar ke Zon Merah HSAH; tujuh lagi termasuk pemandu alami kecederaan ringan, dirawat Zon Hijau; kes disiasat Seksyen 43.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong kecemasan.

Menurutnya, sebuah lagi kenderaan kemudian berhenti di hadapan bagi memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, sebuah lori yang datang dari arah belakang gagal mengelak sebelum merempuh kedua-dua kenderaan tersebut, menyebabkan kesemuanya terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan itu, wanita berusia 56 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kenderaannya.

Mangsa dihantar ke Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, pemandu lori, pemandu sebuah lagi kenderaan serta lima individu lain hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Hijau hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.