
TUMPAT, 28 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 408 kilogram minyak masak bersubsidi ke Thailand dalam serbuan di Pengkalan Haram Bahaman, Kampung Simpangan, di sini, pagi tadi.
- Dua lelaki melarikan diri ke Thailand menaiki perahu selepas dikesan PGA.
- Pemeriksaan kenderaan ditinggalkan menemui 323 kilogram dan 85 kilogram minyak pelbagai jenama.
- Sebuah kereta dirampas; jumlah rampasan dianggarkan RM6,020, kes diserahkan kepada KPDN Kota Bharu mengikut Seksyen 21.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak dipercayai berisi minyak masak dari sebuah kereta ke sebuah perahu.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran anggota PGA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemukan 323 kilogram minyak masak dan 85 kilogram lagi minyak masak pelbagai jenama yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Turut dirampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,020 termasuk kenderaan yang digunakan suspek,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati minyak masak berkenaan dipercayai dikumpulkan di sekitar Kota Bharu dan Tumpat sebelum dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup ke Thailand.
Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kota Bharu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.