Sindiket pemalsuan dokumen tumpas, dalang wanita warga India ditahan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan penggunaan cap keselamatan palsu menerusi Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Klang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang wanita warga India dipercayai dalang utama sindiket ditahan.
  • Suspek pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (spouse visa) dan dipercayai menjalankan kegiatan sejak kira-kira tiga tahun.
  • Sindiket menghasilkan dokumen palsu, termasuk rekod perjalanan, rekod pekerjaan dan pelekat PLKS palsu untuk permohonan visa.
  • 12 warga asing ditahan; siasatan dijalankan menyeluruh bagi kenal pasti rangkaian, dengan tindakan penguatkuasaan dipergiat.

Turut ditahan, seorang wanita warga India yang dipercayai menjadi dalang utama kegiatan berkenaan.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata suspek merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Spouse Visa) kepada seorang warga Malaysia.

“Wanita warganegara India berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira tiga tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan dengan membawa mereka masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang antara satu hingga dua minggu.

Menurutnya sepanjang tempoh itu, sindiket menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod sejarah perjalanan bagi mewujudkan gambaran bahawa pelanggan mempunyai rekod perjalanan yang kukuh.

“Malah sindiket turut menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk tujuan permohonan visa,” ujarnya lagi.

Dalam operasi sama, JIM Selangor turut menahan 12 warga asing terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Sri Lanka yang kini ditempatkan di Depot Imigresen bagi membantu siasatan.

“Jabatan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” katanya.

Mohmad Khusairi berkata JIM memandang serius sebarang aktiviti pemalsuan dokumen, penyalahgunaan kemudahan imigresen dan cubaan mendapatkan visa menggunakan dokumen palsu kerana ia merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang negara.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan negara serta memelihara integriti sistem imigresen Malaysia,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.