
SUNGAI PETANI, 28 Jun – Seorang wanita parah, manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori tujuh tan di Kilometer 94 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.
- Kemalangan melibatkan kereta, MPV dan lori membawa tong ikan menyebabkan ketiga-tiga kenderaan terhumban ke dalam longkang lebuh raya.
- Anggota bomba tiba selepas panggilan kecemasan 8.56 pagi dan mendapati semua kenderaan berada dalam longkang.
- Anggota menggunakan peralatan menyelamat dan kaedah saver untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
- Semua mangsa berusia 16 hingga 56 tahun dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan kenderaan awam; operasi tamat 10.05 pagi.
Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang membawa tong ikan, menyebabkan ketiga-tiga kenderaan terhumban ke dalam longkang lebuh raya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Mohd Happyzam Abd Rashid dalam kenyataan berkata, mangsa yang parah ialah pemandu kereta yang tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu serta kaki, manakala mangsa lain mengalami kecederaan ringan.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.56 pagi sebelum anggota tiba di lokasi dan mendapati semua kenderaan yang terlibat berada di dalam longkang lebuh raya.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan dua mangsa dari lori iaitu pemandu dan kelindan, dua mangsa dari kereta serta empat mangsa dari MPV.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan kaedah saver.
Kesemua mangsa yang berusia antara 16 hingga 56 tahun dibawa ke hospital dengan ambulans dan bantuan kenderaan awam.
Operasi ditamatkan pada pukul 10.05 pagi.