RTM mahu kekal relevan, fokus perkukuh industri penyiaran

foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited untuk terus kekal relevan dalam landskap media yang semakin berubah menerusi pendekatan baharu, pemerkasaan bakat dan peningkatan kemahiran warga kerjanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memastikan penyiaran awam memberi impak kepada rakyat dan menyokong perkembangan industri media supaya pekerjaan tidak hilang.
  • Memperkukuh kedudukan antarabangsa melalui platform RTM World, meningkatkan kandungan, teknologi dan bakat berdasarkan kejayaan RTM ASEAN.
  • Mengukuhkan kepercayaan masyarakat, mengangkat bakat kreatif tempatan dan menarik lebih ramai golongan muda untuk membugar industri penyiaran.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, keutamaan RTM bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, sebaliknya memastikan perkhidmatan penyiaran awam terus memberi impak kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan industri media negara.

“Kita berada di sini untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dan pada masa sama membantu industri berkembang kerana kita tidak mahu orang kehilangan pekerjaan.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI), pendekatan kita bukan menggantikan manusia, tetapi memastikan kemahiran mereka terus dipertingkatkan supaya kekal relevan dan memainkan peranan,” katanya ketika ditemubual pada sesi podcast baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Ashwad berkata, RTM turut komited memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa menerusi platform RTM World, sambil terus berperanan sebagai penyiar awam yang diyakini rakyat.

Menurutnya, usaha itu akan diperkasa melalui peningkatan kandungan, teknologi dan bakat, berasaskan kejayaan RTM ASEAN sebelum ini.

Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap penyiar awam selaras dengan perubahan corak penggunaan berita dalam era digital.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kira-kira 4,000 warga RTM di seluruh negara yang disifatkan sebagai tulang belakang organisasi dalam merealisasikan aspirasi memodenkan penyiaran awam.

Katanya, RTM akan terus menggembleng kekuatan organisasi bagi memastikan institusi itu kekal berkesan, di samping mengangkat bakat kreatif tempatan dan menarik lebih ramai golongan muda demi membugar industri penyiaran negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.