
WELLINGTON, 26 Jun – Ratusan penerbangan dibatalkan, ribuan penduduk terputus bekalan elektrik akibat ribut kuat yang melanda bahagian tengah New Zealand pada Jumaat.
- Gangguan besar terhadap sistem perkhidmatan awam di kawasan terjejas.
- Angin kencang menyebabkan pembatalan penerbangan keluar dan masuk Lapangan Terbang Wellington.
- Wellington Electricity: kira-kira 4,000 pelanggan masih terputus bekalan, 3,000 pelanggan sudah dipulihkan.
- Perkhidmatan Meteorologi New Zealand (MetService) mengeluarkan amaran cuaca buruk; ribut tumbangkan pokok, ganggu aktiviti harian.
Keadaan itu turut mengakibatkan gangguan besar terhadap sistem perkhidmatan awam, di sini.
Angin kencang yang dibawa ribut berkenaan menyebabkan lebih 200 penerbangan keluar dan masuk Lapangan Terbang Wellington dibatalkan, sekali gus menjejaskan pergerakan penumpang.
Sementara itu, syarikat utiliti Wellington Electricity memaklumkan kira-kira 4,000 pelanggan masih terputus bekalan elektrik.
Menurut syarikat itu, bekalan elektrik kepada sekitar 3,000 pelanggan telah berjaya dipulihkan hasil usaha berterusan pasukan teknikal di kawasan terjejas.
Dalam pada itu, Perkhidmatan Meteorologi New Zealand (MetService) mengeluarkan beberapa amaran cuaca buruk susulan sistem tekanan rendah yang melanda sebahagian besar negara itu.
Selain menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi, ribut berkenaan turut mengganggu aktiviti harian penduduk ketika pihak berkuasa meneruskan usaha memulihkan bekalan elektrik dan memantau keadaan cuaca. – REUTERS