
KUANTAN, 26 Jun – Dua longgokan tanah disyaki bauksit seberat 10,000 tan bernilai RM2 juta berjaya dirampas menerusi Op Bersepadu Khazanah di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh di sini semalam.
- Operasi dijalankan oleh PGA dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bersama PDRM.
- Rampasan: tiga lori, dua jengkaut bernilai RM3.75 juta; sembilan ditahan termasuk lima warga asing.
- Aktiviti tiada lesen; tanah diproses di kilang Gebeng; kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral dan Akta Imigresen.
Operasi yang bermula pukul 11.30 pagi itu dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata selain dua longgokan tanah tersebut, turut dirampas ialah tiga lori tanah, dua jengkaut dengan nilai keseluruhan RM3.75 juta serta sembilan individu ditahan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kesemua individu termasuk lima warganegara asing ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang kelulusan atau dokumen aktiviti yang sedang dilakukan.
“Siasatan awal mendapati tapak lokasi berkenaan dipajak kepada sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembersihan dan penanaman semula kelapa sawit.
“Manakala, kesemua tanah yang telah disiap dikorek akan dihantar ke kilang memproses tanah di Gebeng untuk diproses sebelum dijual kepada pembeli,” katanya.
Hasil pemeriksaan aktiviti melombong mineral yang disyaki bauksit itu tidak mempunyai sebarang lesen dan kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Pahang.
Kesemua mereka termasuk rampasan diserahkan kepada pihak polis dan UPNP untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Akta Imigresen 1959.