
KUALA LUMPUR, 26 Jun -BUDI Diesel dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap kadar inflasi negara, sebaliknya membantu mengekalkan kestabilan harga menerusi pelaksanaan lebih bersasar.
- Langkah bersasar mengurangkan risiko pemindahan kos kepada pengguna, mengekalkan kawalan perbelanjaan pengangkutan dan hadkan kenaikan harga barangan.
- Langkah serampang dua mata: atasi ketirisan subsidi dan kurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.
- Subsidi bersasar lindungi penerima layak daripada turun naik harga diesel, sambil pastikan bantuan sampai mereka yang memerlukan.
- Pelaksanaan kesinambungan selepas BUDI95 memperkemas pengurusan subsidi, membantu rumah tangga mengekalkan kuasa beli.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sendirian Berhad, Mohd Sedek Jantan berpandangan langkah itu dapat mengurangkan risiko kenaikan kos dipindahkan kepada pengguna, sekali gus membantu mengawal perbelanjaan pengangkutan serta mengehadkan peningkatan harga barangan.
“Pendekatan itu merupakan serampang dua mata susulan ia bukan sahaja membantu menangani isu ketirisan subsidi, malah mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.
“Ketika harga minyak global berada pada paras tinggi sejak beberapa bulan lepas, subsidi bersasar berupaya membantu mengurangkan tekanan terhadap fiskal kerajaan dengan memastikan hanya penerima yang layak menikmati subsidi.
“Pada masa yang sama, mekanisme itu turut melindungi pengguna yang layak daripada terdedah sepenuhnya kepada turun naik harga diesel di pasaran,”katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau turut menjelaskan, mekanisme itu juga dilihat kesinambungan usaha kerajaan dalam memperkemaskan pengurusan subsidi, khususnya melibatkan komponen besar perbelanjaan subsidi negara selepas pengenalan BUDI95.
“Dari sudut isi rumah, saya tidak melihat pelaksanaan itu menjejaskan perbelanjaan pengguna. Sebaliknya, pengguna yang layak kini menikmati diesel pada harga RM2.10 seliter, yang memberi penjimatan ketara berbanding harga pasaran serta membantu mengekalkan kuasa beli mereka,” katanya.