Elemen Iklim perlu jadi pertimbangan dalam pengaturan fiskal Persekutuan–Negeri

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Elemen iklim wajar diambil kira dalam pengaturan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya usaha memelihara alam sekitar tidak menjejaskan keupayaan negeri membiayai pembangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer memberi insentif atau pampasan kepada negeri yang memelihara kawasan alam sekitar dan sumber semula jadi.
  • Perbincangan lanjut perlu bagi memastikan negeri mendapat sumber mencukupi tanpa bergantung kepada eksploitasi sumber semula jadi.
  • Kerajaan perlu meneliti penyesuaian peraturan dan memperkukuh sistem pemindahan fiskal untuk menarik pelaburan swasta serta menyokong pembangunan mampan negeri.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri dapat bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar.

“Malaysia sudah melaksanakan Ecological Fiscal Transfer (EFT) sejak beberapa tahun lalu, dengan insentif atau pampasan diberikan kepada negeri yang memelihara kawasan alam sekitar dan sumber semula jadi,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Tanggungjawab Fiskal IDEAS 2026, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, perbincangan lanjut diperlukan bagi memastikan kerajaan negeri mendapat sumber mencukupi tanpa perlu bergantung kepada eksploitasi sumber semula jadi.

Menurutnya, kerajaan juga perlu meneliti penyesuaian terhadap kerangka peraturan sedia ada bagi menggalakkan kemasukan pelaburan swasta ke negeri-negeri.

Pada sidang kemuncak itu, IDEAS turut mengesyorkan sistem pemindahan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan negeri diperkukuh.

Cadangan itu bertujuan membantu kerajaan negeri merancang pembangunan dan mengurus kewangan dengan lebih berkesan, termasuk dalam usaha memelihara sumber alam serta memastikan pembangunan mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.