Harga RON97, RON95 dan diesel turun bermula esok

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 25 hingga 30 Jun 2026 diturunkan susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu lalu, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga RON97 turun 25 sen ke RM4.10, RON95 turun 25 sen ke RM3.47, diesel Semenanjung turun 30 sen ke RM4.07.
  • Kerajaan mengekalkan RON95 bersubsidi BUDI95 pada RM1.99 untuk lebih 14 juta penerima.
  • BUDI Diesel bermula 1 Julai 2026, harga diesel bersubsidi RM2.10 untuk pemilik kenderaan diesel persendirian layak menggunakan MyKad.

Harga RON97 diturunkan sebanyak 25 sen kepada RM4.10 seliter berbanding RM4.35 seliter sebelum ini.

Pada masa sama, harga RON95 tanpa subsidi turut turun 25 sen kepada RM3.47 seliter daripada RM3.72 seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia dikurangkan 30 sen kepada RM4.07 seliter berbanding RM4.37 seliter minggu sebelumnya.

Kementerian Kewangan memaklumkan penurunan tersebut mencerminkan perkembangan pasaran minyak global yang lebih positif berikutan penyederhanaan harga minyak mentah dunia serta perkembangan yang lebih baik dalam konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan pasaran petroleum global masih tidak menentu berikutan rundingan damai yang belum dimuktamadkan, pemulihan rantaian bekalan yang perlahan serta inventori dan kos logistik yang belum pulih sepenuhnya ke paras sebelum konflik.

Dalam pada itu, Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran menerusi pelaksanaan subsidi bersasar, selain memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara melalui kerjasama strategik dengan negara rakan termasuk Turkmenistan dan Rusia.

Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak.

Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan RM2.15 seliter; Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Selain itu, pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) akan bermula pada 1 Julai 2026 bagi menyeragamkan subsidi diesel di seluruh negara.

Melalui mekanisme tersebut, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter menggunakan MyKad. Manakala, subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal seperti nelayan, petani kecil, sektor komoditi serta pengangkutan awam darat pula akan terus dikekalkan.

Kerajaan menggesa rakyat menggunakan bahan api secara berhemat dengan merancang perjalanan secara cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengekalkan bekalan dan mengurangkan beban subsidi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.