
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini mencadangkan penubuhan sukarelawan penjara bagi membantu melaksanakan program pemulihan banduan.
- Pindaan 12 fasal dan empat subfasal bertujuan memastikan pengurusan penjara relevan serta selaras dengan amalan antarabangsa.
- RUU mencadang penggunaan peranti pengawasan elektronik dengan kesalahan dan penalti bagi gangguan, pemusnahan atau penghilangan peranti.
- Denda dan hukuman penjara dinaikkan; tafsiran 'banduan' diperluas termasuk pelepasan lesen untuk capai sasaran pemulihan komuniti 2030.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pindaan itu melibatkan 12 fasal dan empat subfasal, termasuk peruntukan baharu mengenai sukarelawan di bawah Akta Penjara 1995.
Beliau berkata, ia bertujuan memastikan pengurusan penjara kekal relevan dengan perkembangan semasa serta selaras dengan amalan antarabangsa.
“Seksyen baharu 66A yang dicadangkan bertujuan untuk memberi komisioner jeneral kuasa untuk melantik apa-apa bilangan sukarelawan sebagaimana yang perlu untuk membantu pegawai penjara untuk melaksanakan apa-apa program pemulihan di bawah Akta Penjara 1995 (Akta 537),” katanya ketika membentangkan RUU itu.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata, penglibatan komuniti merupakan antara fokus utama RUU itu, selain menangani kesesakan penjara, memperkukuh tadbir urus serta memperkasa program pemulihan banduan.
Beliau berkata RUU berkenaan turut mencadangkan penggunaan peranti pengawasan elektronik bagi memantau pergerakan banduan tertentu.
“Bahagian ini juga memperuntukkan kesalahan dan penalti bagi ketidakpatuhan terhadap terma dan syarat tersebut serta bagi perbuatan mengganggu, merosakkan, memusnahkan atau menghilangkan peranti pengawasan elektronik yang dipasang,” katanya.
Beliau berkata, penalti am turut dicadangkan dinaikkan dari denda tidak melebihi RM500 kepada RM5,000 dan tempoh penjara tidak melebihi enam bulan kepada tidak melebihi setahun bagi kesalahan atau peraturan di bawah Akta 537 yang tidak diperuntukkan secara nyata.
Katanya, RUU tersebut memperluas tafsiran “banduan” kepada banduan yang dilepaskan secara lesen di bawah Seksyen 43 selaras dengan sasaran Jabatan Penjara Malaysia bagi membolehkan dua pertiga banduan yang layak menjalani program pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.
RUU berkenaan turut mencadangkan penubuhan seksyen baharu berkaitan perlindungan terhadap pegawai penjara atau mana-mana individu yang bertindak mengikut perintah, arahan atau suruhan komisioner jeneral daripada tindakan undang-undang.