
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pelajar latihan industri ketika menjalankan kerja pembersihan tangki air di Menara Saujana Perdana 1, Sungai Buloh, Selangor pada 16 Jun lalu.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15, 17 dan 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
- Tindakan penguatkuasaan akan diambil jika didapati pelanggaran peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
- Majikan mesti menilai risiko, laksanakan prosedur selamat, beri latihan dan pantauan penyelia kepada pekerja baharu serta kontraktor.
Ketua Pengarah JKKP, Ir. Ts. Hazlina Yon berkata, pegawai penyiasat JKKP Selangor telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta mengeluarkan Notis Larangan Kacau Ganggu Kawasan Kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang berkaitan. Sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan tanggungjawab majikan, orang bekerja sendiri serta pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta individu lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti kerja.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia (UPM) meninggal dunia akibat lemas ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di kolam Menara Saujana Perdana.
Hazlina berkata, semua majikan dan pekerja perlu sentiasa mematuhi keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam pelaksanaan kerja di ruang terkurung.
“Setiap aktiviti kerja perlu dilaksanakan mengikut prosedur kerja selamat yang ditetapkan, termasuk memperoleh permit kerja yang berkaitan serta memastikan semua langkah kawalan yang bersesuaian dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, majikan bertanggungjawab menilai risiko yang berkaitan dengan setiap aktiviti kerja sebelum ia dilaksanakan, terutama bagi kerja-kerja berisiko tinggi.
“Bagi pelajar latihan industri atau pekerja baharu yang terlibat dalam aktiviti tersebut, majikan perlu memastikan mereka menerima latihan, taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mencukupi serta dipantau oleh penyelia yang kompeten.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap individu memahami risiko yang dihadapi, mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan dan melaksanakan tugas dengan selamat agar kejadian seumpama ini dapat dicegah daripada berulang pada masa hadapan.
“Majikan hendaklah memastikan aspek keselamatan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam aktiviti kerja, termasuk vendor dan kontraktor, sentiasa diberi keutamaan,” katanya.