
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bertujuan bagi membanteras aktiviti lumba haram atau menduga kelajuan di jalan raya melibatkan semua jenis kenderaan.
- Seksyen 42A membolehkan tindakan penguatkuasaan awal; perlumbaan atau menduga kelajuan ditetapkan sebagai kesalahan khusus melibatkan dua atau lebih kenderaan.
- Kenaikan kompaun daripada RM300 kepada RM500 untuk beberapa kesalahan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan hukuman lebih setimpal.
- Seksyen 110B diperkenalkan untuk membanteras kegiatan tonto dan melindungi operasi penguatkuasaan JPJ serta polis.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan seramai 43 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bermula 23 Jun 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Seksyen 42A diperkenalkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil lebih awal terhadap kegiatan berlumba tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian.
“Inilah kelompongan yang ingin ditutup melalui pindaan ini. Selama ini, penguatkuasaan dalam kes tertentu menjadi sukar kerana pihak berkuasa perlu membuktikan elemen bahaya atau akibat yang telah berlaku.
“Dengan Seksyen 42A, perbuatan berlumba atau menduga kelajuan itu sendiri menjadi suatu kesalahan khusus.
“Seksyen ini memperuntukkan mana-mana orang yang berlumba di jalan yang melibatkan dua atau lebih kenderaan motor, termasuk kereta adalah melakukan kesalahan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.
Sementara itu berhubung kenaikan kadar kompaun RM300 kepada RM500 bagi beberapa kesalahan, Loke berkata ia bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan memastikan hukuman lebih setimpal.
Beliau berkata, kerajaan turut mempertimbang cadangan supaya kenderaan lumba haram yang diubah suai secara ekstrem tidak dipulangkan kepada pemilik, namun tindakan itu perlu mengikut undang-undang.
Selain itu berhubung Seksyen 110B, beliau berkata, ia diperkenalkan bagi membanteras kegiatan tonto dan melindungi operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
Katanya, akta berkenaan turut menetapkan definisi dan peraturan mikromobiliti bagi menjamin keselamatan pengguna serta orang awam.
Tambah beliau, penggunaan mikromobiliti oleh pelajar, golongan B40 dan orang kurang upaya diambil kira dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan dan kawalan pihak berkuasa.