Remaja lelaki maut jatuh longkang

Mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi awal kejadian

BANGI, 24 Jun – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah kawasan tadahan air selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah longkang berhampiran Masjid Bandar Seri Putra, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan; mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi awal.
  • JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.23 petang; jentera FRT dan empat anggota dikejarkan tiba 4.48 petang.
  • Berdasarkan keterangan saksi, mangsa terjatuh ke dalam longkang ketika berjalan pulang dari sekolah; disyaki dibawa aliran ke kawasan tadahan.

Mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi awal tempat kejadian selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada pukul 4.23 petang.

Susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama kekuatan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 4.48 petang.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hasmizee Lai melaporkan bahawa berdasarkan keterangan saksi, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan kaki bersama rakan-rakannya untuk pulang dari sekolah.

“Mangsa didapati telah terjatuh ke dalam longkang yang terletak berhadapan dengan Masjid Bandar Seri Putra, iaitu di depan pintu pagar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Pasukan penyelamat yang menjalankan operasi pencarian berpandukan aliran air longkang berkenaan akhirnya berjaya mengesan kedudukan mangsa di kawasan tadahan air”, katanya dalam satu kenyataan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.