Inovasi penjagaan kesihatan satu keperluan, bukan lagi pilihan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib.

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Inovasi dalam penjagaan kesihatan bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan untuk memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan dan memenuhi keperluan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkasa penggunaan teknologi dan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran sistem kesihatan yang semakin kompleks.
  • Pengamal kesihatan mesti menerima penyelesaian baharu dan mempercepat penggunaan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.
  • Perkongsian ilmu dan kerjasama strategik dengan negara lain perlu diperkukuh untuk berkongsi kepakaran.
  • Pendekatan berasaskan sains dan kerjasama rentas disiplin penting bagi membina ekosistem kesihatan yang bersepadu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penggunaan teknologi baharu dan penyelesaian inovatif perlu diperkasa selaras dengan cabaran sistem kesihatan yang semakin kompleks.

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, pengamal industri kesihatan perlu bersedia menerima penyelesaian baharu, memperkukuh kerjasama strategik dan mempercepat penggunaan inovasi melalui perkongsian kepakaran dengan negara lain.

“Perkongsian ilmu tidak boleh tertumpu kepada satu fakulti sahaja, sebaliknya perlu melibatkan pelbagai bidang termasuk teknologi, penyelidikan, saintis dan pihak berkepentingan lain.

“Apabila kita mengenal pasti kekangan yang dihadapi, kita perlu mencari penyelesaian melalui penggunaan teknologi dan inovasi yang bersesuaian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Sains Kesihatan (I-SIHAT) Ke-15 dan Persidangan Antarabangsa Sains Kesihatan Ke-3 Persatuan Universiti-Universiti Asia dan Pasifik (AUAP IHSC) 2026 di ibu negara.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh.

Persidangan bertemakan Meneroka Sempadan Baharu Kesihatan: Inovasi dan Kerjasama Global itu dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Universiti-Universiti Asia dan Pasifik (AUAP).

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Datuk Hanifah menyifatkan penganjuran persidangan itu amat bertepatan ketika negara berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes, penyakit kardiovaskular dan gangguan kesihatan mental.

Ini kerana meskipun Malaysia memiliki kekuatan dari segi institusi pengajian tinggi, tenaga kerja berkemahiran serta infrastruktur kesihatan yang baik, cabaran utama adalah menghubungkan semua kekuatan tersebut dalam satu ekosistem kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu.

Menurut beliau, isu kesihatan semasa memerlukan penyelesaian inovatif yang berasaskan sains, kerjasama dan tanggungjawab bersama, selain menuntut penglibatan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara.

“Seiring perkembangan sektor kesihatan, pendekatan secara berasingan tidak lagi sesuai dan kerjasama rentas disiplin perlu diperkasakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan,”tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.