
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun terhadap individu disabitkan kesalahan terlibat dalam aktiviti lumba haram atau menduga kelajuan di jalan raya.
- Seksyen 42A menjadikan lumba dan ujian kelajuan kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Hukuman sabitan kali pertama: denda RM2,000–RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
- Penguatkuasaan boleh diambil tanpa menunggu kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
- Seksyen 110B tentukan tindakan terhadap tonto; kesalahan boleh tangkap, denda RM10,000–RM50,000 atau penjara satu hingga lima tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peruntukan baharu Seksyen 42A di bawah pindaan itu menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, pesalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Bagi sabitan kali kedua atau kali kemudian, hukuman yang lebih berat diperuntukkan iaitu denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Loke berkata, pada masa ini tindakan terhadap aktiviti lumba haram lazimnya diambil di bawah peruntukan pemanduan berbahaya, namun undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan secara khusus kesalahan berlumba atau ujian kelajuan.
Melalui pindaan itu tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap aktiviti tersebut tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
“Begitu juga jika sekumpulan pemandu kenderaan bermotor menggunakan jalan awam untuk menguji kelajuan kenderaan secara tidak sah, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan ini,” katanya.
Sementara itu, Loke memaklumkan RUU berkenaan turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang selama ini menjadi cabaran kepada agensi penguat kuasa.
Katanya, mana-mana individu yang menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam, mengekori kenderaan pegawai penguat kuasa atau menyebarkan maklumat mengenai aktiviti penguatkuasaan boleh dikenakan tindakan.
“Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya. Kesalahan ini juga merupakan kesalahan boleh tangkap,” katanya.
Tambah beliau, pindaan Akta 333 juga menyentuh penyelarasan kadar denda minimum, penalti dan had kompaun bagi beberapa kesalahan tertentu dengan peningkatan kadar daripada RM300 kepada RM500, namun tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.
“Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini menaikkan had maksimum tawaran kompaun, manakala kadar sebenar masih tertakluk kepada jenis kesalahan, tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun serta tatacara yang ditetapkan. Penguatkuasaan kadar maksimum kompaun baharu ini dicadang untuk dimulakan pada 1 Januari 2029,” katanya.