
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kedudukan strategik Malaysia dalam sektor teknologi dan tenaga terus menyokong prestasi perdagangan negara apabila lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini mencecah paras tertinggi RM132.77 bilion.
- Jumlah perdagangan lima bulan pertama 2026 meningkat 18.3% kepada RM1.455 trilion, menurut MATRADE.
- Eksport melonjak 24.3% kepada RM793.84 bilion, disokong permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik.
- Eksport E&E naik 39.7% kepada RM382.89 bilion; eksport semikonduktor meningkat 61.6%.
- Produk petroleum dan gas asli cecair menyumbang kepada prestasi eksport; Malaysia perlu pantau Asia Barat dan perluaskan pasaran baharu.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah perdagangan negara bagi tempoh lima bulan pertama 2026 berkembang 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.455 trilion.
Eksport meningkat 24.3 peratus kepada RM793.84 bilion, didorong permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Import pula berkembang 11.8 peratus kepada RM661.07 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, eksport sektor E&E melonjak 39.7 peratus kepada RM382.89 bilion, manakala eksport semikonduktor meningkat 61.6 peratus.
Beliau berkata, produk petroleum dan gas asli cecair turut menyumbang kepada prestasi eksport negara, disokong permintaan tenaga global yang kekal kukuh.
Dalam masa sama, Malaysia terus memperluas pasaran eksport baharu termasuk di Amerika Latin, Asia Tengah, Oceania, Afrika serta Eropah Tengah dan Timur.
Perkembangan di Asia Barat akan terus dipantau bagi memastikan sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan global dapat ditangani sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan eksport negara.