Malaysia Airlines, Singapore Airlines lancar produk tambang bersama

Penumpang beratur di kaunter daftar masuk Malaysia Airlines di KLIA Terminal 1 di Sepang. / Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Malaysia Airlines (MAB) dan Singapore Airlines (SIA) memperkenal produk tambang bersama bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan serta fleksibiliti kepada penumpang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Produk dibangunkan berasaskan kerjasama perkongsian kod, dijangka meningkatkan kesalinghubungan melalui gabungan rangkaian penerbangan.
  • MAB dan SIA merancang manfaat tambahan termasuk akses timbal balik ke ruang istirahat, penyelarasan jadual dan pengaturan perjalanan korporat bersama.
  • Kerjasama strategik dimuktamadkan Januari 2026 selepas kelulusan, memacu integrasi rangkaian dan mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Singapura.

Kerjasama perniagaan strategik itu dimuktamadkan pada Januari 2026 selepas memperoleh kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Produk berkenaan dibangunkan berasaskan kerjasama perkongsian kod sedia ada dan dijangka meningkatkan kesalinghubungan menerusi gabungan rangkaian penerbangan kedua-dua syarikat.

MAB dan SIA turut merancang memperkenalkan manfaat tambahan secara berperingkat termasuk akses timbal balik ke ruang istirehat, penyelarasan jadual penerbangan serta pengaturan perjalanan korporat bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group, Bryan Foong berkata kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam memperluas hubungan komersial kedua-dua syarikat penerbangan.

“Melalui pengenalan produk tambang bersama, kami memberikan pelanggan lebih banyak pilihan, fleksibiliti lebih baik dan pengalaman perjalanan lebih lancar.

“Kerjasama ini juga menjadi asas kepada integrasi lebih mendalam antara rangkaian kami, yang akhirnya memberi manfaat kepada penumpang,” katanya.

Ketua Pegawai Komersial SIA, Lee Lik Hsin pula berkata kolaborasi itu membolehkan kedua-dua syarikat menggabungkan kekuatan masing-masing bagi meningkatkan penawaran dan memberi nilai lebih baik kepada pelanggan.

Inisiatif berkenaan dijangka memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat serta perdagangan antara Malaysia dan Singapura.

MAB dan SIA menandatangani perjanjian rangka kerja kerjasama komersial pada Oktober 2019 sebelum memperluas kerjasama secara berperingkat.

Kedua-dua syarikat kini berkongsi kod bagi penerbangan merentasi Malaysia, Singapura, Eropah dan Afrika Selatan.

Pada Februari 2024, MAB dan SIA turut memperkenal kemudahan pengumpulan dan penebusan timbal balik antara program penumpang kerap Enrich dan KrisFlyer.

Kemudahan itu membolehkan ahli memperoleh serta menebus batu atau mata ganjaran bagi penerbangan terpilih yang dikendalikan kedua-dua syarikat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.