
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan antaranya usaha memperkukuh serta memulihkan ekonomi negara, susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat.
- Meneliti kesiapsiagaan negara menghadapi El Niño, dengan impak terhadap bekalan air, pertanian, keselamatan makanan, cuaca panas melampau dan jerebu.
- Memastikan dasar dan inisiatif dilaksana secara bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat untuk memperkukuh daya saing dan menarik pelaburan berkualiti.
- Mengukuhkan semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat turut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta meningkatkan risiko cuaca panas melampau dan jerebu.
“Penekanan turut terarah kepada usaha memastikan setiap dasar serta inisiatif dilaksana secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat, di samping memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara,”katanya.
Perdana Menteri percaya semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan menerusi mesyuarat itu, terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam memastikan manfaat pembangunan dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.