
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mendapatkan bantuan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras kegiatan perjudian haram dan sindiket mengatur perlawanan yang mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah rentas negara sepanjang Piala Dunia FIFA 2026.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM kini memberi tumpuan kepada pemantauan sindiket dalam negara, namun kerjasama dengan agensi luar seperti Interpol dan ASEANAPOL akan dipertingkat sekiranya perlu.
Menurut beliau, kegiatan perjudian kini semakin mencabar kerana tidak lagi tertumpu kepada premis fizikal, sebaliknya menggunakan teknologi moden dan platform dalam talian.
“Kita membanteras kegiatan di premis dan lokasi yang dikenal pasti. Namun, perjudian kini banyak dijalankan menggunakan teknologi moden dan peranti elektronik.
Justeru, kita berkongsi maklumat dengan agensi berkaitan bagi memastikan kegiatan ini dapat dibendung sepanjang kejohanan Piala Dunia,” katanya ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Kali Ke-42 di Maktab PDRM Cheras di sini.
Beliau berkata, semua kontinjen polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut diarahkan memperketat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan perjudian siber.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar memaklumkan seramai 58 individu telah ditahan menerusi Op Soga XI yang dijalankan di seluruh negara sejak 11 Jun lalu.
Operasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu turut merampas wang tunai RM25,684 dan mengesan nilai pertaruhan berjumlah RM488,582.
Dalam operasi sama, sebanyak 42 laman sesawang yang mempromosikan perjudian haram turut dikenal pasti.
Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico kini memasuki saingan peringkat kumpulan dengan penyertaan 48 pasukan.