Malaysia, Jepun perkukuh perkongsian strategik menjelang 70 tahun hubungan diplomatik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media bersama rakan sejawatnya dari Jepun Sanae Takaichi di  Tokyo, 10 Jun 2026 / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Hubungan Malaysia dan Jepun kini melangkah ke fasa baharu dengan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun dianggap pencapaian penting yang mengukuh hubungan dua hala.
  • Pertemuan antara Anwar dan Sanae menegaskan komitmen memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif berteraskan Dasar Pandang Ke Timur.
  • Perluasan kerjasama ekonomi termasuk keselamatan rantaian bekalan, peralihan tenaga, teknologi termaju dan inovasi.
  • Kerjasama keselamatan diperkukuh melalui hubungan agensi pengawal pantai, kesinambungan pertahanan di bawah Inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi Jepun serta pertukaran rakyat.

Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Jepun di Malaysia, Nihei Daisuke berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun pada 8 hingga 10 Jun lalu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Menurut beliau, pertemuan antara Datuk Seri Anwar dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi telah menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun yang berteraskan Dasar Pandang Ke Timur.

“Hubungan Jepun dan Malaysia terus melangkah ke hadapan dengan satu lagi pencapaian penting. Menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun depan, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus membina perkongsian yang lebih erat, lebih mendalam dan berpandangan jauh,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebook rasmi Kedutaan Jepun di Malaysia, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi, khususnya melibatkan keselamatan rantaian bekalan dan peralihan tenaga.

“Kerjasama turut merangkumi bidang baharu termasuk teknologi termaju dan inovasi. Dalam aspek keselamatan, kedua-dua pihak mengalu-alukan kerjasama lebih erat antara agensi pengawal pantai serta kesinambungan kerjasama pertahanan di bawah Inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi Jepun (OSA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hubungan rakyat dengan rakyat turut menunjukkan perkembangan positif apabila lebih sejuta pertukaran lawatan direkodkan pada tahun lalu, selain usaha memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, budaya dan pembangunan belia.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen bersama Jepun dan Malaysia sebagai rakan rapat di rantau Indo-Pasifik untuk terus memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama bagi generasi akan datang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.