TVETMARA Jasin institusi pertama tawar diploma khusus EV komersial

Mohd Rozaini Md Nafiah

KUALA LUMPUR, 18 Jun – TVETMARA Jasin menjadi institusi pertama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini yang memperkenalkan Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif Komersial (Kenderaan Elektrik) bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor kenderaan elektrik (EV) komersial yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus khusus pada penyelenggaraan dan servis kenderaan EV komersial seperti bas, lori dan pikap.
  • Diploma tiga tahun memberi penekanan servis dan penyelenggaraan, dibangunkan berdasarkan input industri untuk atasi kekurangan tenaga mahir.
  • Pelajar menjalani latihan industri enam bulan bersama syarikat utama bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
  • Pengambilan pertama dijadualkan Julai-Disember 2026 selepas kelulusan MQA, bermula dengan 20 pelajar sebelum ditingkatkan.

Ketua Program Diploma Kejuruteraan Automotif Komersial (Kenderaan Elektrik) TVETMARA Jasin, Mohd Rozaini Md Nafiah, berkata program pertama seumpama itu memberi tumpuan khusus kepada penyelenggaraan dan servis kenderaan elektrik (EV) komersial bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri.

Program berkenaan memberi fokus kepada kenderaan perdagangan seperti bas elektrik, lori dan kenderaan pikap tidak seperti program automotif EV sedia ada yang lebih umum.

“Selepas menerima maklum balas daripada pihak industri bahawa masih terdapat kekurangan tenaga kerja dari segi bekalan sumber manusia, kita melihat walaupun teknologi baharu semakin banyak diperkenalkan, aspek sumber manusia juga perlu diberi perhatian.

“Oleh itu, kita akan menyediakan latihan kepada pelajar-pelajar supaya mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan dan dapat memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angakasapuri Kota Media di sini hari ini.

Menurut beliau, TVETMARA Jasin merupakan institusi perintis yang menawarkan diploma khusus EV komersial dengan pengambilan pertama dijadualkan bermula pada sesi Julai-Disember 2026 selepas mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program ini memberi penekanan kepada aspek servis dan penyelenggaraan kenderaan EV komersial. Kita membangunkannya berdasarkan input industri yang memaklumkan masih berlaku kekurangan tenaga kerja dalam bidang ini.

“Teknologi EV semakin berkembang, namun sumber manusia yang mempunyai kemahiran khusus dalam sektor tersebut masih belum mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, pengenalan program diploma selama tiga tahun dilihat sebagai usaha menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) negara dengan melahirkan lebih ramai lepasan yang mahir, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan dalam sektor tersebut.

Para pelajar juga akan menyertai latihan industri selama enam bulan bersama syarikat-syarikat utama dalam industri EV bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Seramai 20 pelajar akan diterima bagi pengambilan pertama sebelum kapasiti ditingkatkan kepada 40 pelajar setiap semester.

Mohd Rozaini turut menjelaskan bahawa silibus program sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan teknologi dan keperluan industri menerusi kerjasama rapat dengan pemain industri.

Selain itu, pelajar TVETMARA turut menikmati yuran pengajian yang rendah serta elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.