UM kekal teratas, UMT tingkat kedudukan QS WUR

Universiti Malaysia Terengganu

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Lima universiti awam Malaysia berjaya mencatat kedudukan membanggakan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2027 dengan Universiti Malaya (UM) mencapai kedudukan tertinggi apabila meningkat dua anak tangga daripada kedudukan ke-58 kepada ke-56 dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMT melonjak ke kelompok 701-710 universiti terbaik dunia berbanding kedudukan 801-850 tahun sebelumnya.
  • Pencapaian meletakkan UMT dalam kalangan hampir 47 peratus universiti terbaik dunia dan mengukuhkan kedudukan global institusi.
  • Naib Canselor kreditkan kejayaan kepada usaha kolektif warga universiti dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan kerjasama antarabangsa.
  • Kejayaan hadir sempena Jubli Perak 25 tahun dan menonjolkan kekuatan dalam marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan.

Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan UM sebagai universiti terbaik di Malaysia serta meletakkannya dalam kelompok 3.7 peratus universiti terbaik dunia.

Dalam laporan kedudukan itu, Universiti Sains Malaysia (USM) berada di tangga 128, diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditangga 130, Universiti Putra Malaysia 138 dan Universiti Teknologi Malaysia di tangga 158.

Turut membanggakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), apabila merekodkan lonjakan peningkatan ke kedudukan 701–710 dunia.

Menurut UMT dalam kenyataan, universiti itu melonjak ke kelompok 701–710 universiti terbaik dunia berbanding kedudukan 801–850 pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu meletakkan UMT dalam kalangan hampir 47 peratus universiti terbaik dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi berkenaan dalam penarafan pendidikan tinggi global.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga universiti yang sentiasa komited dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta jaringan kerjasama antarabangsa.

“Pencapaian tersebut amat istimewa kerana hadir ketika UMT meraikan Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya. Ia bukan sahaja menjadi simbol kejayaan yang dicapai sepanjang perjalanan UMT malah membuktikan UMT terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi yang relevan, progresif dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Dalam usia 25 tahun, UMT telah berjaya membina reputasi yang kukuh dalam bidang tujahan strategiknya, khususnya marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan. Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami melangkah lebih jauh ke arah kecemerlangan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

QS World University Rankings 2027 menilai 8,808 institusi di seluruh dunia termasuk 32 dari Malaysia.

Hanya 1,504 institusi disenaraikan dalam ranking akhir merentasi 106 lokasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.