
KUALA LUMPUR, 18 Jun- Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal menghormati komitmen perjanjian yang telah dipersetujui termasuk dalam urusan kerjasama pertahanan.
- Pembatalan kontrak oleh Norway walaupun pembayaran telah dibuat menimbulkan kebimbangan keselamatan dan komitmen perjanjian.
- Anwar menerima permohonan maaf Perdana Menteri Norway tetapi tekankan isu keselamatan dan tuntutan pembayaran tetap serius.
- Malaysia membuat bantahan keras; pembatalan lesen eksport NSM dan sistem pelancar akan mempengaruhi keputusan kerjasama masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian itu susulan tindakan Norway membatalkan kontrak pertahanan meskipun sebahagian besar pembayaran telah dibuat oleh Malaysia.
Beliau berkata perkara itu akan mempengaruhi pertimbangan Malaysia dalam menjalin kerjasama pada masa depan.
“Saya sudah bercakap dengan Perdana Menteri Norway (Jonas Gahr Støre) dan beliau memohon maaf. Namun ini berkaitan keselamatan kami. Apa yang anda harapkan kami lakukan? Kami (Malaysia) sudah menandatangani perjanjian dan sudah membuat bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama RT International sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menyatakan bantahan keras terhadap perkara itu dan isu berkenaan tidak akan berakhir setakat itu.
“Kami sudah membantah dengan tegas dan perkara ini tidak akan berakhir. Ia akan mempengaruhi keputusan (pertimbangan) kami (dalam kerjasama akan datang),” katanya.
Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan telah membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.