
SHAH ALAM, 15 Jun – Polis Selangor berjaya menumpaskan empat sindiket penipuan dalam talian menerusi empat siri operasi melibatkan daerah Kajang, Seri Kembangan dan Shah Alam dari 8 hingga 10 Jun lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya juga berjaya menahan seramai 41 warga asing yang dipercayai terlibat dalam pelbagai penipuan antarabangsa.
“Tangkapan melibatkan seramai 41 individu warganegara asing yang terdiri daripada lelaki seramai 30 orang, manakala wanita seramai 11 orang.
“Bagi keempat-empat operasi, rampasan telah dilakukan melibatkan telefon bimbit sebanyak 74 unit, komputer riba sebanyak 24 unit, router WIFI sebanyak 6 unit dan juga modem sebanyak 2 unit. Juga dalam siri serbuan dan tangkapan serta rampasan, nilai anggaran adalah sekitar RM409,200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi antara Januari hingga April dan menyasarkan mangsa dari Eropah, Amerika Syarikat serta China.
Dalam serbuan yang dibuat, pihaknya turut berjaya merampas sejumlah mata wang asing serta dua kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala pihak polis masih mengesan dalang utama yang dipercayai berada di luar negara.
Polis turut menasihatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau pelaburan dalam talian yang mencurigakan.