Di sebalik demam Piala Dunia, terserlah semangat perpaduan

Orang ramai menyaksikan siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat -Paraguay/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukan menyatukan pelbagai kaum, bangsa dan agama; kedai makan jadi 'stadium' bagi penyokong berkumpul dan meraikan bersama.
  • Nilai sukan seperti kerjasama, toleransi dan hormat perlu diterapkan dalam kehidupan harian untuk mengekalkan keharmonian negara.
  • Fenomena sukan membuktikan ia ejen perpaduan; contoh kejohanan tempatan menunjukkan sokongan merentas kaum perlu dipelihara berterusan.

Buat peminat sukan bola sepak dunia, kini di ibarat sedang dilanda demam. Demam bola, masuk sahaja bulan Jun 2026 petanda Bola Sepak Piala Dunia sudah bermula.

Sepanjang Piala Dunia ini, skrip yang meniiti di bibir warga dunia hanya berkisar perihal bola sepak. Pernah wujud satu slogan “Makan Bola, Tidur Bola”. Demam tersebut juga turut melanda rakyat Malaysia. Bahang dan kehangatan piala dunia sudah mula dirasai.

Setiap penyokong masing-masing sudah mula membeli jersi-jersi pasukan kegemaran mereka sebagai tanda sokongan dan bersama-sama menyemarakkan lagi kemeriahan piala dunia, lebih-lebih lagi apabila festival bola sepak tersebut dapat ditonton secara percuma pada tahun ini.

Musim bola tiba, sudah tentu kedai-kedai makan seperti kedai mamak, malah kedai-kedai kampung biasa sudah mula membuat persiapan untuk membuat tayangan layar perlawanan bola sepak.

Kedai-kedai makan boleh diibaratkan macam stadium yang menghimpunkan pelbagai latar belakang masyarakat tanpa mengira kaum dan usia.

Umum mengetahui, melalui sukan ia mampu menjadi landasan terbaik dalam memupuk dan memperkasa perpaduan antara kaum. Ia juga seperti semangat terdahulu tanpa mengira kaum, bangsa dan Agama bersatu dan berpadu untuk mencapai kemerdekaan yang kini diwarisi oleh generasi sekarang.

Disaat bermacam-macam gelombang hantaran media sosial yang banyak menyentuh pelbagai sentimen, kehadiran Piala Dunia ini sedikit sebanyak meredakan gelombang yang sedang hangat termasuk isu-isu global yang melanda.

Disaat ini juga, algoritma media sosial akan bertsunami berkenaan dengan bola sepak sahaja.

Sukan Gerbang Perpaduan

Sukan juga sebagai gerbang perpaduan semua kaum di negara ini. Semangat tersebut dapat diterjemahkan apabila semua kaum dan bangsa duduk semeja dan sebumbung bersama menyaksikan perlawanan bola sepak.

Jika pasukan negara yang disokong menang, kita akan bersorak gembira bersama dan apabila pasukan negara kita tewas kita tangis bersama.

Sukan bukan hanya untuk tontonan tetapi ia juga adalah ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak, sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum.

Sukan juga dapat menyatukan rakyat, kita akan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan Agama.

Oleh itu, semangat perpaduan yang dipupuk melalui sukan tidak seharusnya dilihat dari satu sudut sahaja, malah ia berperanan sebagai wadah yang lebih luas dan signifikan dalam menyatukan masyarakat.

Dalam era globalisasi masa kini, dunia diibaratkan sebagai sebuah perkampungan global yang tidak lagi dibatasi oleh sempadan geografi.

Perkembangan teknologi komunikasi dan jaringan antarabangsa telah menjadikan setiap benua seolah-olah berada dekat antara satu sama lain, sekali gus membuka ruang yang lebih besar untuk sukan berfungsi sebagai medium perpaduan dan hubungan antara masyarakat serta negara.

Sukan dan Kebersamaan

Semangat perpaduan yang dipamerkan sepanjang kejohanan bola sepak tersebut tidak seharusnya terhad kepada tempoh pertandingan semata-mata.

Sebaliknya, nilai-nilai positif yang lahir daripada sukan seperti kerjasama, toleransi dan rasa saling menghormati perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

Dengan cara ini, perpaduan yang terbina melalui sukan dapat terus dipelihara demi menjamin keharmonian dan kestabilan negara.

Keharmonian yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini merupakan hasil usaha generasi terdahulu dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.

Oleh itu, semangat kebersamaan yang dapat dilihat melalui sukan seperti Piala Dunia perlu terus dipupuk agar menjadi asas yang kukuh dalam memperkasakan perpaduan nasional serta mempererat hubungan antara kaum untuk generasi akan datang.

Banyak contoh-contoh yang baik kini dipaparkan melalui hantaran media sosial yang menjadi tontonan yang tinggi sehinggakan pelayar media sosial diluar negara turut teruja melihat kesepakatan dan kemajmukan rakyat Malaysia.

“Vibe” atau gelombang sebegitu perlu banyak ditonjolkan kerana aura positif yang baik akan menjadi cerminan kepada dunia tentang Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kemajmukan dalam kalangan rakyatnya.

Bukan sahaja bola sepak, contoh sukan yang lain yang dapat memumupuk semangat perpaduan ialah dalam kejohanan sukan badminton melalui mana-mana kejohanan perlawanan yang berlangsung.

Baru-baru ini kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, kita dapat lihat Stadium Titiwangsa penuh dengan sokongan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa. Diluar stadium pula, jutaan rakyat Malaysia hadir bersama memberikan sokongan.

Semangat dan perpaduan dalam kalangan kaum kalau boleh janganlah sepanjang tempoh minit pertandingan sahaja. Ia perlu dikekalkan sepanjang masa untuk menjaga keharmonian negara.

Secara tuntas, sukan bukan sekadar medan persaingan untuk mencari kemenangan atau kejuaraan, tetapi merupakan wadah penting dalam menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Fenomena seperti Piala Dunia bola sepak serta kejohanan sukan lain jelas membuktikan bahawa sukan mampu meruntuhkan tembok perbezaan dan menyatukan rakyat dalam satu semangat kebangsaan yang sama.

Oleh itu, nilai perpaduan yang lahir melalui sukan tidak wajar terhenti hanya di stadium atau gelanggang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian masyarakat.

Jika semangat kebersamaan ini terus dipupuk dan dipelihara secara berterusan, ia bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kaum, malah menjadi asas kukuh kepada kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara pada masa hadapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Roslan Rusly
Penolong Pengarah/Pegawai Perhubungan Media
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: roslanr@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.