
PUTRAJAYA, 14 Jun – Aspek tatakelola perlu menjadi teras penting dalam pembangunan dan kegiatan koperasi, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pengurusan baik meningkatkan prestasi koperasi; tatakelola dan pengagihan kuasa perlu diberi perhatian.
- Usaha membanteras rasuah mesti dilaksanakan supaya manfaat ekonomi dinikmati secara menyeluruh.
- Percanggahan dalam dan luar kerajaan perlu dibetulkan untuk elak pengagihan manfaat terhad kepada kumpulan kecil.
- Penting memastikan hasil koperasi memberi manfaat kepada orang ramai, bukan hanya menguntungkan kelompok tertentu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata ini bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua pihak.
“Pengurusan yang baik mampu meningkatkan prestasi koperasi, justeru aspek seperti tatakelola dan pengagihan kuasa yang berkesan serta usaha membanteras rasuah tidak boleh dipandang ringan.
“Kadang-kadang terdapat percanggahan dalam dan luar kerajaan mengenai soal ini. Jika tidak dibetulkan, wang yang diperoleh banyak sekalipun, tidak akan memberi manfaat kepada orang ramai, tetapi hanya menguntungkan kelompok yang sama, yang kecil. Itu sebab tatakelola penting,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) kali ke-10, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi KOPROJAYA Saiful Azhar Shaharun serta lebih 1,200 ahli koperasi.