
TASHKENT, 14 Jun – Kerjasama strategik Malaysia-Uzbekistan dalam sektor pertanian dan agromakanan terus diperkukuh dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor agromakanan kedua-dua negara hasil pertukaran saintis, pelaksanaan penyelidikan bersama, pembangunan teknologi pertanian serta inovasi.
- Malaysia tawarkan kepakaran akuakultur dan teknologi biofloc untuk meningkatkan produktiviti di kawasan terhad
- Uzbekistan berminat mendapatkan teknologi, kepakaran dan pelaburan Malaysia bagi mengukuh sektor perikanan dan keterjaminan makanan
- Transformasi digital ditekankan termasuk AI, pertanian digital, pertanian pintar dan pengurusan air lestari
- Pelancaran operasi Meraque Group dan MoU menunjukkan keupayaan teknologi pertanian Malaysia menembusi pasaran Asia Tengah
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, delegasi Malaysia ke Tashkent diketuai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bakal memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi, teknologi pertanian dan pelaburan.
Pertemuan dua hala pada Sabtu itu melibatkan Datuk Seri Mohamad dan Menteri Pertanian Uzbekistan, Prof. Ibrokhim Abdurakhmonov bagi membincangkan potensi kerjasama pelbagai bidang baharu bagi kedua-dua negara.
“Malaysia mempunyai kekuatan dalam bidang akuakultur, pengeluaran makanan laut serta sistem kawalan kualiti, termasuk industri udang, bersedia untuk berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dengan Uzbekistan.
“Malaysia turut berkongsi pengalaman dalam penggunaan teknologi biofloc yang telah berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan yang terhad, sekali gus menawarkan penyelesaian yang berpotensi untuk menyokong pembangunan industri perikanan Uzbekistan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga mengenal pasti potensi besar dalam sektor akuakultur dan perikanan selain memperluaskan kerjasama teknikal, pelaburan dan pemindahan teknologi.
Pengalaman Malaysia dalam penggunaan teknologi biofloc berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan yang terhad sekali gus berpotensi membantu pembangunan industri perikanan Uzbekistan.
“Pihak Uzbekistan turut menyatakan minat untuk mendapatkan kepakaran, teknologi dan pelaburan dari Malaysia bagi memperkukuh sektor perikanan negara tersebut, meningkatkan bekalan makanan domestik serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan serantau.
“Kepentingan transformasi digital sebagai pemacu utama pembangunan pertanian masa hadapan sekaligus mengenal pasti bidang kecerdasan buatan (AI), pertanian digital, pertanian pintar dan pengurusan air secara mampan antara yang berpotensi untuk diterokai,” tambah kenyataan itu.
Gabungan pengalaman dan kepakaran Malaysia-Uzbekistan dijangka mewujudkan sinergi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Selain itu, pengukuhan kerjasama business to business (B2B) antara syarikat dan pemain industri pertanian kedua-dua negara dilaksanakan sebagai pelengkap hubungan yang sedia terjalin.
“Malaysia-Uzbekistan bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa bagi meneliti peluang pelaburan dan perdagangan dalam sektor pertanian.
“Datuk Seri Mohamad turut menyambut baik perkembangan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Centre of Knowledge and Innovation in Agriculture (AKIS), Uzbekistan yang sedang dalam perbincangan untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa Datuk Seri Mohamad juga merasmikan pelancaran operasi Meraque Group di Uzbekistan yang merupakan syarikat teknologi pertanian Malaysia terkemuka dalam bidang robotik, dron serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pertanian Uzbekistan.
Pelancaran itu merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat Malaysia dalam menembusi pasaran Asia Tengah sekali gus membuktikan keupayaan teknologi pertanian tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Pada akhir lawatan, Datuk Seri Mohamad turut menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.
Eksport utama Malaysia ke Uzbekistan termasuk kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari Uzbekistan termasuk buah-buahan bernilai tinggi seperti anggur.
Perkembangan positif hubungan perdagangan Malaysia-Uzbekistan berjaya mencapai nilai perdagangan RM338.48 juta bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.