
KUANTAN, 14 Jun – Pemegang kad UNHCR tidak layak menerima sebarang subsidi kerajaan Malaysia kerana kad tersebut bertindak sebagai dokumen pengenalan pelarian bukan status penduduk tetap atau kewarganegaraan.
- Subsidi bersasar hanya untuk warganegara yang menggunakan MyKad; program BUDI95 dan eCOSS memerlukan pengesahan kad pengenalan.
- Kad UNHCR tidak diiktiraf sebagai kad pengenalan untuk penyaluran subsidi.
- Golongan berkenaan dilarang bekerja di bahagian hadapan pasar raya; hanya dibenarkan tugas belakang operasi seperti pengurusan stok.
- Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan kepada lima kali setiap DUN; pasar raya digalakkan sediakan bakul makanan bernilai RM100 untuk penerima SARA.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh menegaskan bahawa, subsidi bersasar kerajaan hanya boleh dinikmati warganegara yang memiliki MyKad.
“Jika kita lihat kaedah penyaluran subsidi ketika ini, ia menggunakan kad pengenalan. Sebagai contoh, bagi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pengguna perlu menggunakan kad pengenalan untuk menikmati manfaat yang disediakan.
“Begitu juga untuk pembelian minyak masak paket melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), yang memerlukan pengesahan menggunakan kad pengenalan.
“Kad UNHCR tidak diiktiraf sebagai kad pengenalan. Oleh itu, langkah ini diambil kerajaan bagi memastikan hanya rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat dan kelebihan daripada subsidi yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Rahmah MADANI sempena pembukaan baharu Pasaraya Pantai Selamat Seindah di sini.
Selain itu golongan berkenaan juga tidak dibenarkan bekerja di bahagian hadapan sesebuah pasar raya, termasuk di kaunter pembayaran, selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Kelulusan Penggajian Pekerja Asing.
Mereka hanya dibenarkan menjalankan tugas di bahagian belakang operasi seperti pengurusan stok, mengangkat barangan dan menguruskan stor.
Setakat ini pihak kementerian juga belum menerima sebarang aduan berkaitan ketirisan pembelian minyak masak paket yang melibatkan golongan berkenaan, termasuk etnik Rohingya.
Dalam pada itu, KPDN juga memaklumkan bahawa kementerian tersebut tidak mempunyai kuasa untuk menghalang warga Rohingya daripada membantu pasangan mereka yang merupakan warganegara Malaysia dalam mengurus dan menjalankan perniagaan di premis berkenaan.
“Namun, jika seorang warganegara Malaysia berkahwin dengan warga asing, dan suaminya membantu isteri dalam perniagaan, perkara itu tidak menjadi satu kesalahan.
“Contohnya, jika isteri tersebut merupakan warganegara Malaysia dan telah mendaftar syarikat serta memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan termasuk lesen berkaitan penyimpanan barangan seperti tepung, gula dan minyak di kedainya.
“Sekiranya suaminya merupakan warga asing, tiada undang-undang yang menghalang suami tersebut daripada membantu isterinya yang merupakan warganegara Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu Datuk Dr. Fuziah turut memaklumkan bahawa Jualan Rahmah MADANI akan ditingkatkan kepada lima kali bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Jun, berbanding empat kali bagi setiap DUN sebelum ini.
“Dia mengikut jumlah Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebagai contoh, di Pahang terdapat 42 DUN, jadi sebelum ini kiraannya darab empat, dan kini menjadi darab lima.
“Di Johor pula terdapat 56 DUN, maka pengiraannya turut mengikut jumlah DUN tersebut. Begitu juga di Negeri Sembilan yang mempunyai 36 DUN, kiraannya juga berdasarkan DUN, iaitu sebelum ini darab empat dan kini meningkat kepada darab lima,” katanya.
Pasar raya yang menawarkan Jualan Rahmah MADANI juga dicadangkan untuk menyediakan bakul makanan bernilai RM100 supaya lebih mudah dibeli penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).