
KOTA KINABALU, 13 Jun – Kerajaan akan mempertimbangkan penyediaan Geran Padanan berjumlah RM5 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh identiti nasional, semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
- Inisiatif dikendalikan Arkib Negara merangkumi penghidupan semula 10 Memorial Negarawan serta mempercepat pendigitalan khazanah sejarah negara.
- Pelaksanaan pameran interaktif di institusi pendidikan, pusat beli-belah dan hab pengangkutan untuk mengukuh penghayatan sejarah dan patriotisme.
- Cadangan kepada Kerajaan Negeri Sabah sediakan tapak sesuai bagi pembangunan Memorial Negarawan Sabah menghargai jasa tokoh negeri.
- Geran RM10,000 kepada 189 sekretariat Rukun Negara IPT dan RM5,000 kepada 6,849 kelab sekolah, serta pengaktifan semula Rancangan Integrasi Murid.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif yang akan dikendalikan oleh Arkib Negara Malaysia itu turut merangkumi usaha menghidupkan semula 10 Memorial Negarawan di seluruh negara serta mempercepatkan pendigitalan khazanah sejarah negara.
Beliau berkata, usaha itu juga melibatkan pelaksanaan pameran interaktif di lokasi tumpuan awam seperti institusi pendidikan, pusat beli-belah dan hab pengangkutan.
“Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya mempertimbang penyediaan tapak bersesuaian untuk pembangunan Memorial Negarawan Sabah bagi menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh yang telah membentuk sejarah negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Likas, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI turut bersetuju menyediakan geran aktiviti berjumlah RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bagi melaksanakan program kenegaraan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, sebanyak RM5,000 diperuntukkan kepada 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah bagi memperkukuh penghayatan prinsip Rukun Negara sejak di peringkat awal pendidikan.
Menurut beliau, inisiatif itu akan melahirkan lebih ramai Duta Kecil Rukun Negara serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.
Katanya, ia turut mengaktifkan semula pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan sebagai platform interaksi dan integrasi nasional yang lebih berkesan.