
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait isu pelarian Rohingya merupakan satu tindakan wajar.
- Pertahankan nilai kemanusiaan tetapi tidak kompromi kedaulatan undang-undang negara.
- Pelarian mesti menghormati peraturan negara dan penguatkuasaan diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
- Bezakan antara individu yang melanggar undang-undang dan keseluruhan komuniti; elakkan tindakan sendiri dan sentimen kebencian.
- Pemulangan dan penempatan ke negara ketiga rumit kerana kekangan politik dan keselamatan; perlu keseimbangan antara keselamatan serta tanggungjawab kemanusiaan.
Profesor di Jabatan Sejarah dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata ia selari dengan pendirian Malaysia untuk terus memperjuangkan hak kemanusiaan, sekali gus menegakkan undang-undang negara tanpa sebarang kompromi.
“Kemanusiaan mesti dipertahan, kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi pelarian perlu menghormati peraturan negara yang beri perlindungan kepada mereka manakala rakyat pula perlu serah urusan kuat kuasa ini kepada pihak yang berkuasa untuk menanganinya.
“Namun sifat kemanusiaan itu tidak bermakna atau tidak bermaksud mereka bebas untuk mengabaikan undang-undang negara kita.
“Apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri sebenarnya adalah prinsip yang sangat jelas siapa sahaja yang ada di Malaysia sama ada warganegara, dia warga asing, dia pelarian dia pelawat, dia mesti hormat undang-undang dan peraturan negara ini,” katanya kepada RTM.
Jelasnya, sebarang pelanggaran perlu berdepan tindakan sewajarnya tanpa sebarang pilih kasih serta memastikan orang awam tidak bertindak melulu dengan mengambil tindakan mereka sendiri untuk menyelesaikan isu berkaitan komuniti berkenaan.
“Kita harus bezakan antara individu yang langgar undang-undang dengan keseluruhan komuniti pelarian itu.
“Jangan kerana kesalahan ataupun kejahatan segelintir anggota, semua kita hukum melalui sentimen kebencian ataupun prasangka dan kita juga perlu faham bahawa isu Rohingya ini bukanlah dia bukan isu domestik malaysia semata-mata ia adalah isu kemanusiaan serantau yang masih belum ada penyelesaian yang muktamad,”katanya lagi.
Proses menghantar pulang pelarian Rohingya juga seringkali berdepan pelbagai kekangan politik dan keselamatan membabitkan urusan diplomasi, manakala penempatan mereka ke negara ketiga juga tidak mudah itu untuk dilaksanakan.
Tambahnya lagi, Malaysia berada pada kedudukan yang sangat mencabar kerana perlu perlu menjaga kepentingan keselamatan negara serta kedaulatan undang-undang dan pada masa sama juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kemanusiaan yang selama ini menjadi pegangan kepimpinan di negara ini.
Beliau yakin isu berkenaan dapat ditangani secara adil dan berhemat sekiranya semua pihak bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang tanpa mengetepikan nilai-nilai ihsan dan hak kemanusiaan sejagat.