Pekebun Kampung Neram rayu tindakan segera atasi gangguan gajah liar

Pekebun, Fizi Uji, 42 tahun menanggung kerugian berulang kali selain memerlukan kos tinggi untuk menanam semula tanaman yang rosak akibat serangan gajah liar / Foto RTM

KEMAMAN, 13 Jun – Pekebun di Kampung Neram di sini terus berdepan kerugian apabila tanaman kelapa sawit mereka musnah akibat serangan gajah liar yang didakwa berlarutan sejak tiga tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pekebun menanggung kerugian berulang kali dan kos tinggi untuk menanam semula tanaman yang rosak.
  • Langkah rondaan hanya sementara; penduduk mahukan solusi jangka panjang bagi mengelakkan konflik manusia dan gajah.
  • Cadangan termasuk pembinaan pagar elektrik dan kawasan pengumpulan makanan; pihak berkaitan diminta ambil tindakan segera.

Gangguan berulang itu bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan penduduk, malah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekebun apabila kumpulan gajah liar semakin kerap menceroboh kawasan tanaman.

Penduduk mendakwa haiwan berkenaan dipercayai keluar dari kawasan hutan simpan berhampiran sebelum memasuki kebun untuk mencari makanan, termasuk memusnahkan pokok kelapa sawit yang telah mengeluarkan hasil.

Dalam kejadian terbaharu Khamis lalu, puluhan pokok kelapa sawit dilaporkan musnah sekali lagi selepas diceroboh kumpulan gajah liar.

Seorang pekebun, Fizi Uji, 42 tahun, berkata kejadian itu menyebabkan mereka menanggung kerugian berulang kali selain memerlukan kos tinggi untuk menanam semula tanaman yang rosak.

“Memang kecewa, tak tahu nak kata macam mana dah. Letih itu memang ada. Nak dapatkan hasil pun susah. Kalau nak tanam semula, memang perlukan modal besar. Harap selepas ini tak berulang lagi,” katanya ketika ditemui RTM di sini.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan penduduk termasuk rondaan bagi menghalau haiwan berkenaan, namun ia hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan masalah secara tuntas.

Penduduk berharap pihak berkaitan dapat melaksanakan langkah jangka panjang bagi mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar itu daripada terus berulang.

Sementara itu, difahamkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kini dalam proses perbincangan akhir oleh pihak berkaitan.

Antara cadangan penyelesaian termasuk pembinaan pagar elektrik serta mewujudkan kawasan pengumpulan makanan bagi mengelakkan kumpulan gajah liar memasuki kawasan kebun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.