
PARIS, 12 Jun- Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi tumpuan baharu dalam meramal juara Piala Dunia 2026, mengambil alih peranan popular yang pernah dimainkan ‘Paul the Octopus’ pada edisi 2010.
- Chatbot berbeza meramalkan pemenang: ChatGPT dan Claude pilih Sepanyol, Le Chat pilih Perancis, DeepSeek dan Qwen sokong Argentina.
- Bank dan pusat penyelidikan menguji keupayaan model AI untuk meramal keputusan menerusi analisis prestasi dan faktor semasa.
- Penyelidik Universiti Ludwig Maximilian menilai ketepatan model bahasa besar dalam meramal keputusan perlawanan secara berperingkat.
- Keupayaan memahami data dinamik penting; pakar menegaskan AI hanya alat sokongan, belum mampu menggantikan keputusan di padang.
Chatbot seperti ChatGPT dan Claude dilaporkan memilih Sepanyol sebagai calon utama juara, manakala Le Chat daripada Mistral meramalkan Perancis mampu menjulang trofi di laman sendiri.
Sistem AI dari China seperti DeepSeek dan Qwen pula cenderung memilih Argentina sebagai pemenang kejohanan berkenaan.
Fenomena itu mencetuskan perbandingan dengan ‘Paul the Octopus’, seekor sotong yang menjadi sensasi dunia selepas ‘meramalkan’ keputusan perlawanan melalui pilihan makanan ketika Piala Dunia 2010 di Jerman.
Menurut laporan, beberapa institusi termasuk bank dan pusat penyelidikan kini turut menguji keupayaan model AI dalam membuat ramalan keputusan bola sepak termasuk analisis prestasi pasukan dan faktor semasa.
Kajian juga sedang dijalankan oleh penyelidik di Universiti Ludwig Maximilian di Jerman bagi menilai ketepatan model bahasa besar (LLM) dalam meramal keputusan perlawanan secara berperingkat.
Penyelidik berpendapat keupayaan AI memahami data dinamik seperti kecederaan pemain, pemilihan skuad dan statistik semasa menjadi aspek penting dalam menentukan ketepatan ramalan.
Walaupun begitu, pakar menegaskan AI masih berfungsi sebagai alat sokongan analisis dan belum boleh menggantikan keputusan di padang. -AFP